Apa lagi Pyongyang mahu?

HANOI, 13 Sept – Menteri luar Korea Selatan berkata hari ini usaha untuk mencatat kemajuan dalam rundingan pembatalan senjata nuklear dengan Korea Utara merupakan ‘satu kebimbangan harian’ tatkala beliau meminta momentum baru dalam rundingan pada satu sidang kemuncak bersama Korea pada minggu depan.

Mesyuarat akan menjadi mesyuarat ketiga di antara pemimpin Korea Utara dan Selatan pada tahun ini dan diadakan tatkala rundingan di antara Washington dan Pyongyang mengenai perobohan gudang senjata nuklear Utara menemui kebuntuan.

Presiden AS Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un bertemu untuk sidang kemuncak Singapura pada Jun dan berjanji akan menghapus program senjata nuklear di semenanjung Korea.

Bagaimanapun, tidak ada butir-butir yang telah dipersetujui, dan Washington dan Pyongyang telah bertengkar mengenai maksud butir-butir dan bagaimana ia akan dicapai. Pada bulan lalu, Trump membatalkan satu lawatan oleh Setiausaha Negara Mike Pompeo ke Pyongyang dalam satu kegagalan besar.

Duta AS baru untuk Utara, Stephen Biegun, berkata pada Ogos Kim telah berjanji ‘akan mencapai pembebasan semenanjung daripada senjata nuklear sepenuhnya’ pada sidang kemuncak Singapura.

Seorang wanita berjalan melewati poster gergasi menunjukkan gambar pertemuan Presiden Korea Selatan Moon Jae-in dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Dewan Bandaraya Seoul, kelmarin. Moon Jae-in akan ke Pyongyang pada 18 September untuk sidang kemuncak ketiga dengan Kim Jong Un ketika usaha AS untuk meroboh program senjata nuklear Korea Utara terhenti. – AFP

Namun Pyongyang telah mengecam Washington atas tuntutannya yang ‘sama seperti gangster’ untuk pelucutan senjata nuklear yang sepenuhnya.

Menteri Luar Korea Selatan Kang Kyung-wha hari ini menggesa perkembangan dilakukan dalam rundingan dan berkata isu tersebut merupakan isu utama untuk Seoul.

“Menambah momentum dalam pelucutan senjata nuklear dan proses perdamaian telah diusahakan sekarang, ia adalah kebimbangan harian untuk mengatasinya,” beritahu beliau pada forum ekonomi serantau di Hanoi.

Beliau menambah beliau berharap sidang kemuncak pada 18-20 September di Pyongyang ‘akan menjadi langkah besar dalam program pelucutan senjata nuklear dan keamanan’.

Bercakap mengenai isu sampingan forum, Kang meminta Utara supaya mengamal ‘sikap terbuka’ mengenai program senjata mereka dan menambah sidang kemuncak kedua Trump-Kim harus menghasilkan keputusan ‘konkrit’.

“Sidang kemuncak kedua nanti perlu menjadi sesuatu yang memajukan agenda, perlu adanya keputusan konkrit,” kata beliau. – AFP