Tuesday, April 16, 2024
25.4 C
Brunei

    -

    Apabila rumput laut ‘bertemu’ gamelan

    Gambar Bernama

    KUALA LUMPUR – Sambil menyelam minum air, dan Dr Jillian Ooi Lean Sim, seorang saintis marin, adalah antara contoh tepat untuk mengulas maksud peribahasa Melayu itu.

    Pakar dalam bidang ekosistem marin khususnya rumput laut, wanita Tionghoa ini memanfaatkan aktiviti menyelam untuk mengambil sampel dengan turut menggubah lagu berasaskan bunyi-bunyian di dalam laut, sebelum merealisasikan irama itu menggunakan alat muzik tradisional Melayu, gamelan.

    “Ketika saya menyelam di laut, saya dapat mendengar pelbagai bunyi, ada bunyi gelembung air, ikan dan hidupan laut yang lain. Kesemua ini saya simpan sebagai not muzik dalam minda saya, dan kemudian, saya mainkan irama itu menggunakan gamelan,” ceritanya kepada Bernama.

    Oleh itu, tidak menghairankan jika wanita ini yang juga Pengarah Muzik Bersama kumpulan gamelan kontemporari Rhythm in Bronze (RiB), menggembleng kempen kesedaran tentang pentingnya menjaga ekosistem laut dengan persembahan alat muzik berkenaan.

    Antara karya beliau ialah ‘Mantera Nelayan’ yang boleh ditonton di YouTube.

    Pengarah Muzik Bersama kumpulan gamelan kontemporari RiB yang juga Pensyarah Jabatan Geografi, Universiti Malaya Dr Jillian Ooi ketika raptai persembahan di Petaling Jaya, baru-baru ini.
    Sharmini Ratnasingam (kanan) ketika raptai persembahan teater muzikal gamelan di Petaling Jaya, baru-baru ini.
    Amira Farhana AHmad Hamidi ketika menjalankan raptai persembahan teater muzikal gamelan yang diketuai oleh Dr Muhammad Sayyid Shafiee di Petaling Jaya, baru-baru ini.
    Pemain gamelan kumpulan Rhythm in Bronze (RiB) Adilah Junid, 46, (kanan) pada sesi raptai persembahan teater muzikal gamelan yang diketuai oleh komposer persembahan itu yang juga pensyarah muzik, Dr Muhammad Sayyid Shafiee, 36, (kiri) ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

    Jiwa seni seorang saintis

    Ooi, 51, bukan nama asing dalam dunia saintis hidupan marin, terutama tentang penyelidikan rumput laut, sejenis tumbuhan berbunga yang hidup pada kedalaman hingga 10 meter di dalam laut. Tumbuhan ini lazim ditemukan di sekitar hutan paya bakau, tepi pantai serta terumbu karang, dan adakala membentuk sebuah “padang” di dasar laut.

    Berpengalaman kira-kira 18 tahun dalam penyelidikan tumbuhan itu, kepakaran pensyarah kanan di Jabatan Geografi, Universiti Malaya (UM) ini turut diiktiraf oleh Pew Charitable Trust yang memilih beliau sebagai penerima geran Pew Fellowship berjumlah AS$150,000 (sekitar RM630,900) pada tahun lepas, bagi menjalankan penyelidikan tentang rumput laut.

    Selain itu, beliau turut diberi kepercayaan menasihati dua pertubuhan bukan kerajaan yang menjalankan pemeliharaan dan pemuliharaan marin, iaitu Reef Check Malaysia dan Kelab Alami Tanjung Kupang.

    Bercerita tentang minatnya dalam muzik gamelan, Ooi berkata kegiatan itu diceburi sejak dia masih bergelar mahasiswi.

    “Pada 1997, ketika itu saya penuntut tahun tiga jurusan geografi di UM, saya mengikut kawan untuk menyaksikan latihan kelab gamelan yang diketuai oleh etnomusikologi dan juga pensyarah seni muzik UM ketika itu, Sunentra Fernando.

    “Niat saya cuma untuk menonton, namun Sunentra mengajak semua yang hadir termasuk saya, untuk bermain gamelan,” kongsinya, menambah keseronokan yang dirasai ketika kali pertama mengetuk gamelan menjadi titik tolak kepadanya untuk mengenali lebih dekat instrumen muzik berkenaan.

    Menurutnya, pada tahun sama juga Sunentra mengasaskan RiB dan beliau dipelawa untuk turut serta sebagai pengarah bersama kumpulan.

    Terjemah bunyi laut kepada persembahan gamelan

    Bagi Ooi, bunyi gamelan itu sendiri bagaikan bunyi dalam lautan, dan setiap kali mendengar alunan muzik gamelan, beliau akan terasa bagaikan sedang berada di dalam laut.

    “Bagi saya, alunan instrumen gamelan Melayu ibarat bunyi di laut dalam yang bukan sahaja membawa saya mengimbas kembali detik-detik ketika berada di lapangan, tetapi juga mendorong saya untuk mencetuskan kesedaran masyarakat tentang pentingnya pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan marin,” katanya.

    Sehubungan itu katanya, kebanyakan persembahan RiB adalah berkisar tentang alam sekitar, khususnya ekosistem marin.

    “Awda boleh lihat kebanyakan video-video persembahan kami yang lepas adalah berkaitan dengan air, nelayan dan laut. Semua itu merupakan hasil nukilan saya dan pasukan yang diilhamkan sepanjang kami membuat penyelidikan di lapangan,” katanya.

    Bercerita tentang persembahan bertajuk ‘Mantera Nelayan’, Ooi berkata teater gamelan itu dihasilkan pada 2014, diinspirasikan oleh pengalaman beliau semasa bersama-sama masyarakat nelayan ketika menjalankan penyelidikan tentang rumput laut dengan pelajarnya.

    Pemuliharaan rumput laut

    Menurut Ooi, RiB kini sedang melakukan persiapan untuk persembahan seterusnya yang dijadualkan pada Mei dan Ogos depan, berkisar tentang pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem rumput laut dan komuniti.

    “Kami sudah melakukan persediaan sejak tahun lepas, dan jujur saya katakan bahawa kami rasa sangat janggal apabila mencapai alat-alat muzik gamelan yang telah dua tahun ditinggalkan di studio akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

    “Bukan senang untuk mengembalikan momentum itu, namun dengan kerjasama dan keserasian rakan-rakan sepasukan, kami dapat hidupkan kembali muzik gamelan untuk menjayakan persembahan mega ini,” ujarnya.

    Persembahan perdana produksi yang bakal menampilkan kolaborasi dengan komuniti seni persembahan, saintis dan komuniti tempatan dari Mukim Tanjung Kupang, Johor itu akan diadakan di Bobo Kuala Lumpur dari 3 hingga 6 Mei ini, dan di Pentas 2, Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC) pada Ogos depan.

    Menurut Ooi, projek itu juga merupakan sebahagian daripada penganugerahan geran Pew Fellowship.

    Bercakap tentang rumput laut, wanita itu berkata tumbuhan berkenaan berperanan sebagai tempat perlindungan semula jadi dalam ekosistem marin. Namun kini tumbuhan itu diancam kepupusan dek perubahan iklim dan juga kegiatan tebus guna tanah.

    “Kami gelar rumput laut ini sebagai ‘anak tiri organisme marin yang hodoh’ kerana tumbuhan ini tidak begitu mendapat perhatian berbanding batu karang dan hutan bakau.

    Semua orang suka batu karang dan hutan bakau yang cantik dan unik, berbanding rumput laut yang kerap kali dianggap sebagai ‘lalang’ di laut.

    “Saya lihat rumput laut ini sebagai ‘underdog’ dalam ekosistem marin, dan atas sebab itulah saya pertahankan tumbuhan ini, ” jelasnya, menambah beliau juga mengambil masa yang lama untuk meyakinkan suaminya, Affendi Yang Amri, seorang pakar ekologi terumbu karang dan pegawai penyelidik di Institut Sains Samudera dan Bumi UM, tentang hal itu.

    Menurutnya, berbanding terumbu karang yang menarik perhatian ikan berwarna-warni yang lazimnya menjadi ikan hiasan, ‘padang rumput laut’ menjadi tempat perlindungan ikan-ikan ‘hodoh’.

    “Ikan-ikan hodoh inilah yang kita makan. Jadi, kita memang perlu jaga rumput laut kerana tumbuhan ini adalah sumber makanan ikan-ikan hodoh tersebut,” jelasnya.

    Sehubungan itu, beliau berharap persembahan teater gamelan dapat menghimpunkan kumpulan berkepentingan daripada kedua-dua belah pihak – sains dan seni persembahan.

    “Walaupun muzik tidak akan membalikkan perubahan iklim atau kemerosotan padang rumput laut, setidak-tidaknya ini adalah satu langkah ke arah itu.

    Team produksi ke mukim tanjung kupang

    Sementara itu, Penerbit Eksekutif RiB, Sharmini Ratnasingam berkata selain melakukan persiapan daripada segi persembahan, pihaknya turut turun padang bersama-sama Ooi ke Mukim Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, Johor untuk merasai sendiri kehidupan nelayan serta kawasan penyelidikan rumput laut dengan kerjasama Kelab Alami Tanjung Kupang.

    “Kami bergerak beramai-ramai ke Tanjung Kupang untuk melihat sendiri ekosistem rumput laut dan hutan paya bakau, di samping turut merasai kehidupan masyarakat nelayan dengan mengikuti mereka berlayar ke laut bagi melihat sendiri aktiviti penangkapan ikan.

    “Program turun padang ini bukan sahaja memudahkan pasukan kami menggubah lagu serta melakukan persembahan terbaik untuk khalayak tetapi turut membantu kami menterjemahkan mesej itu menerusi persembahan gamelan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...