Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Apam Balik Uncle Soon terus digemari sejak 1979

    KUALA LUMPUR – Soon Teik Yong baru berusia 19 tahun apabila memutuskan untuk memulakan perniagaan sendiri iaitu menjual apam balik – sejenis apam yang rangup dan gebu berintikan jagung berkrim, kacang tanah dan gula – bersama abangnya Soon Teik Hoe pada 1979.

    Dengan kemahiran dimiliki Teik Yong dalam membuat apam balik yang sedap ketika bekerja sebagai pembantu penjual apam balik selama tiga bulan dekat Jalan Loke Yew di sini, dan motosikal roda tiga yang dibelikan Teik Hoe, adik-beradik Soon itu memulakan perniagaan mereka di pasar pagi Jalan Air Panas di sini.

    Empat puluh tiga tahun kemudian dengan pelbagai resipi yang diimprovisasi, perniagaan Apam Balik Uncle Soon membuktikan bahawa makanan itu tetap digemari hingga kini. Pada masa ini, mereka mempunyai gerai di beberapa pasar malam di ibu negara dan satu outlet di pusat beli-belah Sunway Velocity Mall.

    Apam balik mereka juga boleh dipesan untuk penghantaran ke rumah atau pejabat melalui aplikasi WhatsApp.

    Teik Yong yang kini berusia 63 tahun berkata pada permulaan ia bukanlah sesuatu yang mudah, bagaimanapun beliau dan abangnya itu yang kini menjangkau usia 72 tahun berazam untuk memastikan ia berjaya bagi menjamin masa depan yang lebih baik buat keluarga mereka.

    Apam balik mereka juga boleh dipesan untuk penghantaran ke rumah atau pejabat melalui aplikasi WhatsApp. – Agensi
    Teik Yong masih memilih untuk menjalankan perniagaan mereka di pasar malam empat kali seminggu dengan menaiki van berusia 38 tahun. – Agensi
    Antara ciptaan baharu yang ditambah pada menu oleh anak-anak Teik Yong dan abangnya. – Agensi

    “Saya dan abang terus berusaha bersama-sama walaupun kami tidak mendapat keuntungan yang banyak ketika mula berniaga, ini kerana kami percaya antara satu sama lain dan tidak pernah berputus asa atas apa yang kami lakukan, ia juga mengeratkan hubungan kami sebagai adik-beradik,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Walaupun memiliki kehidupan yang lebih baik sekarang, Teik Yong dan isterinya masih memilih untuk menjalankan perniagaan mereka di pasar malam di sini empat kali seminggu dengan menaiki van berusia 38 tahun yang seusia dengan anak perempuan sulung mereka.

    Beliau berkata perniagaan keluarga itu diserahkan kepada generasi kedua dengan ciptaan resipi baharu yang ditambah pada menu oleh anak-anak beliau dan abangnya.

    Anak perempuan sulungnya Jennifer Soon Poi Liy, 38, kini pengarah bagi outlet Uncle Soon yang pertama di Sunway Velocity Mall di sini.

    Poi Liy berkata perniagaan itu membantu merapatkan hubungan kekeluargaan yang kukuh dan memainkan peranan penting dalam kehidupan mereka.

    Adiknya, Soon Chun Wah, 33, pula bertugas menyediakan apam balik di pusat beli-belah itu dengan resipi baharu bergantung kepada permintaan pelanggan serta pencuci mulut kegemaran terkini generasi baharu.

    “Saya masih menyediakan apam balik menggunakan resipi asli oleh ayah saya pada masa dulu tetapi kini lebih banyak tambahan bahan untuk dipilih daripada menu baharu yang merupakan kegemaran rakyat Malaysia,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...