Apam Johol kini mula ‘merantau’ dunia

Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar

KUALA PILAH – Kuih tradisional Apam Johol merupakan kuih terkenal di seluruh pelusuk Negeri Sembilan bahkan menjadi kuih ‘wajib’ dalam acara besar di Istana, Balai Undang, kerajaan negeri, majlis perkahwinan dan juga korporat di negeri ini.

Sebut sahaja Apam Johol, kuih yang dibaluti daun rambai itu sudah pasti membangkitkan selera dek kerana aroma baunya yang harum sekali gus menjadi kegemaran masyarakat di sini.

Kini, kuih berkenaan tidak lagi eksklusif hanya di Negeri Sembilan khususnya Johol, kawasan kelahiran kuih berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai Apam Daun Rambai. Ia kini telah mula ‘merantau’ di seluruh negara serta beberapa negara luar.

Pengusaha KT Apam Johol, Hatijah Kassim, 56, berkata selain mendapat permintaan daripada beberapa negeri seperti Selangor, Pahang, Melaka, Sarawak dan Johor, kuih berkenaan yang mempunyai peminat tersendiri telah pun menjelajah negara lain seperti Singapura dan Jordan.

“Di Malaysia, negeri yang berminat mendapatkan Apam Johol adalah seperti Sarawak dan kita juga mempunyai peniaga yang mengambil kuih ini secara sejuk beku untuk dijual di Seri Kembangan, Selangor yang mempunyai ketahanan sehingga sebulan.

Pengusaha KT Apam Johol Hatijah Kassim, 56, menunjukkan kuih Apam Johol bersama sambal tumis ketika ditemuramah Bernama baru-baru ini. – Bernama
Beliau yang sudah 15 tahun mengusahakan kuih tradisional tersebut berkata daun rambai adalah rahsia utama bagi membangkitkan aroma kuih Apam Johol. – Bernama

“Selain masyarakat biasa, Apam Johol ini juga turut digemari pihak istana dan juga terdapat beberapa orang kenamaan yang turut menggemarinya. Kita juga mendapat tempahan daripada hotel di Negeri Sembilan serta Kuala Lumpur,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Gebu dan lembut

Memiliki tekstur yang gebu dan lembut serta mempunyai rasa yang sedikit manis, Apam Johol selain sedap dimakan begitu sahaja turut boleh dicicah dengan rendang dan sambal tumis dan sesuai dijadikan sarapan atau minum petang.

Hatijah yang telah 15 tahun mengusahakan kuih berkenaan berkata resipi turun-temurun keluarganya itu memiliki ramuan dan teknik adunan khas menyebabkan ia menjadi kegemaran ramai bahkan mampu menjual sebanyak 800 biji pada hari biasa dengan harga 50 sen sebiji.

“Namun permintaan meningkat pada musim cuti sekolah dan setakat ini saya yang dibantu oleh tiga pekerja mampu menghasilkan paling banyak 3,000 biji sehari dan ia bergantung kepada permintaan.

“Dahulu, Apam Johol ini tidak dikomersialkan dan hanya kuih tradisional di Johol, namun selepas penjenamaannya kira-kira 10 tahun dahulu daripada Apam Daun Rambai kepada Apam Johol, pemintaan terhadap kuih ini semakin meningkat bahkan saya juga sedang mempertimbangkan permintaan dua individu dari Melaka dan Pahang yang menyatakan minat menggunakan jenama saya untuk dipasarkan di negeri mereka,” katanya.

Beliau berkata di Johol, setakat ini terdapat lima pengusaha Apam Johol termasuk dirinya dan berharap kuih berkenaan mampu bertahan dengan saingan kuih moden yang semakin banyak di pasaran. – Bernama