Apartmen runtuh ragut 9 jiwa

ASTANA, Kazakhstan, 2 Jan – Sembilan orang terkorban apabila sebahagian daripada bangunan apartmen mereka runtuh di tengah Kazakhstan, kata pihak berkuasa negara itu hari ini, dengan pemanas meletup dilaporkan menjadi punca nahas tersebut.

“Seramai 9 orang ditarik keluar daripada runtuhan” bangunan di kampung Shakhan luar bandar Karaganda, menurut kementerian dalam negeri negara Asia Tengah.

Mangsa merupakan tiga lelaki, tiga wanita dan tiga kanak-kanak.

Lima orang termasuk seorang lelaki berusia 32 tahun dan dua kanak-kanak, berjaya diselamatkan hidup-hidup dari runtuhan tersebut.

Operasi pencarian telah dihentikan lewat hari ini, media tempatan memetik pihak berkuasa serantau sebagai berkata, ketika tiada kes orang hilang telah dilaporkan.

Pihak berkuasa mendapat laporan kecemasan pada jam 22:40 malam pada Ahad (1640 GMT) yang sebahagian bangunan itu telah runtuh dan mereka mengejarkan 70 pekerja kecemasan ke tempat kejadian.

Media tempatan memetik gabenor serantau Nurmukhambet Abdibekov sebagai berkata bahawa sebahagian bangunan apartmen 60 tingkat itu mungkin telah runtuh berikutan letupan pada pemanas di tingkat bawah.

“Kami akan menyiasat apa yang berlaku,” laman web Tengri memetik Abdibekov sebagai berkata, menambah bahawa penghuni bangunan itu telah memasang pemanas.

Gambar dari tempat kejadian yang disiarkan oleh kementerian dalam negeri menunjukkan penggali mengorek runtuhan dengan pekerja kecemasan memerhati.

Penghuni yang lain telah dipindahkan, kata kementerian, menambah bahawa satu jawatankuasa kerajaan telah ditubuhkan untuk menyiasat insiden berkenaan.

Satu kes jenayah telah dibuka untuk memastikan sama ada runtuhan itu mungkin telah disebabkan oleh kecuaian, lapor media tempatan. – AFP