SAN FRANCISCO, 13 NOV – Pertumbuhan ekonomi di rantau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang merangkumi 21 anggota menunjukkan tanda-tanda bertambah baik, dengan unjuran pertumbuhan 3.3 peratus pada tahun ini berbanding 2.6 peratus pada 2022.
Menurut laporan Analisis Trend Serantau APEC yang terkini, pemulihan pelancongan dan penggunaan domestik sedang memacu kegiatan ekonomi.
Walau bagaimanapun, kesan buruk akibat pandemik, inflasi, hutang yang lebih tinggi, perubahan iklim, perlindungan perdagangan, ketegangan geopolitik dan pemisahan ekonomi terus menyuramkan unjuran, jelas laporan itu yang dikeluarkan oleh Unit Sokongan Dasar APEC kelmarin menjelang Minggu Pemimpin Ekonomi APEC.
Pengarah Unit Sokongan Dasar, Carlos Kuriyama berkata terdapat tanda-tanda positif dalam APEC namun hal itu sedang menangani tempoh sukar dalam keadaan risiko negatif.
“Pertumbuhan ekonomi di rantau ini masih tidak sekata walaupun kita berharap kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih stabil pada tahun-tahun mendatang,” katanya.
Inflasi susut kepada 3.4 peratus pada September 2023, berbanding kadar 6.6 peratus yang direkodkan pada tempoh sama tahun lepas, tambah laporan itu. – Bernama
