KUALA LUMPUR, 27 MEI – Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) telah mengunjurkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serantau akan berkembang kukuh sebanyak 6.3 peratus pada 2021 dengan jangkaan peningkatan dalam aktiviti domestik dan global.
Pengarah Unit Sokongan Dasar APEC, Dr Denis Hew berkata ia susulan daripada permintaan berlaku selepas pengurangan perbelanjaaan selama setahun kebanyakannya disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 yang melanda di seluruh dunia.
“Unjuran KDNK untuk tahun 2022 dan 2023 masing-masing akan kekal pada 4.4 peratus dan 3.4 peratus namun akan berkembang sederhana,” katanya ketika Taklimat “The APEC Regional Trends Analysis: May 2021” yang diadakan secara maya, hari ini.
Hew berkata APEC kekal berhati-hati dan optimis terhadap prospek ekonomi untuk tahun ini berikutan pelbagai jenis vaksin yang tersedia serta sokongan dasar fiskal dan monetari kerajaan secara berterusan untuk perniagaan dan isi rumah.
“Prospek yang lebih baik itu juga mencerminkan sokongan kerajaan yang berterusan terutama oleh ekonomi dengan ruang fiskal yang cukup walaupun ekonomi diharapkan beralih kepada pendekatan yang lebih bersasar untuk membantu mereka yang terkesan dan membantu perniagaan yang layak,” katanya.
Walaupun inflasi secara purata untuk APEC dapat meningkat lebih tinggi sehingga 2.0 peratus pada tahun 2021, Hew berkata ia masih dalam keadaan baik dan dilihat mempunyai ruang untuk dasar monetari untuk terus menyokong pemulihan ekonomi, sekurang-kurangnya pada waktu terdekat ini.
Bagaimanapun, ketidaktentuan pada masa depan dijangka berlaku kerana penularan semula kes COVID-19, justeru setiap negara perlu berjaga-jaga terhadap mutasi baharu virus itu yang akan menyebabkan pandemik itu berpanjangan dan melambatkan pembukaan semula operasi perniagaan dan pintu sempadan.
“Perkembangan mengenai varian baharu COVID-19 dan vaksin perlu dipantau dengan teliti supaya tindakan pantas dapat dilakukan sekiranya berlaku peningkatan kes.
Beliau berkata negara anggota APEC dijangka pulih pada tempoh yang berbeza. Kebanyakannya disebabkan perbezaan berkaitan akses dan ketersediaan vaksin, ia mempengaruhi kadar kepantasan program vaksinasi. – Bernama