APEC komited sokong PMKS

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Gelombang kedua dan ketiga penularan COVID-19 telah melembapkan usaha pemulihan global dan Brunei Darussalam juga tidak terkecuali apabila negara dilanda gelombang kedua COVID-19 pada Ogos lalu.

Oleh itu, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin menekankan perlunya bagi dasar-dasar kerajaan yang efektif untuk memastikan kedayatahanan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kemapanan dan keterangkuman, penumpuan bagi PKS untuk memanfaatkan digital dan integrasi melalui pembangunan kapasiti PKS ke arah pendigitalan, meningkatkan akses kepada teknologi, memperbaiki akses kepada kewangan serta untuk menyediakan penyelesaian pembiayaan alternatif dan mekanisme pembayaran merentas sempadan supaya dapat memudahkan akses PKS kepada rantaian bekalan dan pasaran antarabangsa.

Beliau menekankan perkara itu semasa mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Mesyuarat Menteri-menteri PKS APEC (SMEMMM) ke-27 yang berlangsung secara maya, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Menteri bagi Perniagaan Kecil, New Zealand, Tuan Yang Terutama Stuart Nash dengan dihadiri oleh menteri-menteri dan wakil-wakil daripada kesemua ekonomi APEC.

Pada mesyuarat yang diadakan di bawah tema SME Resilience in a World with COVID-19 itu ahli-ahli ekonomi yang menghadiri mesyuarat mengambil maklum akan impak yang belum pernah terjadi disebabkan oleh pandemik COVID-19 ke atas perniagaan dan menyeru ekonomi-ekonomi APEC supaya akan memperkukuhkan dasar serta melaksanakan langkah-langkah yang akan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk pulih dan membina daya tahan.

Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf semasa menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri PKS APEC (SMEMMM) ke-27 yang berlangsung secara maya, baru-baru ini. – Gambar serahan Kementerian Kewangan dan Ekonomi

Menteri-menteri yang bersidang juga berkongsi amalan-amalan terbaik dan menyampaikan pandangan mereka terhadap dua sub-tema iaitu Digitalisation as an Enabler of Effective Recovery from Economic Shocks dan Inclusion and Wellbeing.

Selaras dengan sub-tema Inclusion and Wellbeing, Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf juga mengongsi bahawa Negara Brunei Darussalam telah memperkenalkan semula beberapa langkah interim dan fiskal bagi memberikan sokongan kepada sektor-sektor yang terjejas teruk dan paling terdedah dalam ekonomi khususnya PMKS.

Langkah-langkah yang diambil, ulasnya, adalah berasaskan kepada strategi-strategi untuk mengekalkan kesejahteraan orang ramai menerusi peruntukan penjagaan kesihatan yang mencukupi dan efisien untuk semua, melindungi pekerjaan dan menyediakan sokongan bagi individu-individu melalui bantuan kewangan dan pembangunan kapasiti serta menyokong dan membantu perniagaan untuk memastikan kelangsungan dan kemapanan mereka.

Kenyataan seterusnya menyatakan bahawa melalui kenyataan Menteri-menteri PKS APEC 2021, ahli-ahli ekonomi komited untuk melaksanakan sebuah komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang 2040 berasaskan kepada Visi Putrajaya APEC 2040 yang disokong oleh pemimpin-pemimpin APEC pada 2020 serta mempromosikan keterangkuman dan kesejahteraan untuk membangunkan PMKS yang mampan, berdaya tahan, berkeupayaan digital dan inovatif bagi pemulihan daripada impak pandemik COVID-19.

Dalam kenyataan itu, ekonomi-ekonomi APEC terus komited untuk meningkatkan kerjasama, pembangunan kapasiti dan berkongsi amalan-amalan terbaik menerusi APEC dan berikrar untuk terus menyokong PMKS dengan mengukuhkan infrastruktur digital, mempercepatkan transformasi digital dan merapatkan jurang digital.

Ekonomi-ekonomi APEC juga akan terus menyokong PMKS dimiliki wanita untuk mencapai pemulihan ekonomi dan sosial serta meningkatkan produktiviti di mana dalam hubungan itu, mengalu-alukan usaha melaksanakan La Serena Roadmap for Women and Inclusive Growth.

Kenyataan juga mengambil maklum usaha mencapai matlamat Boracay Action Agenda untuk memupuk penyer-taan PMKS dalam pasaran global dan serantau serta menggalakkan ekonomi-ekonomi APEC supaya menumpukan kepada pendigitalan PMKS dan akses kepada pembiayaan serta meneruskan pelaksanaan Pelan Strategik Kumpulan Kerja PKS 2021-2024.

Terdahulu sebelum mesyuarat menteri-menteri, Mesyuarat Kumpulan Kerja Kecil PKS APEC (SMEWG) ke-51 dan ke-52 telah diadakan secara maya pada awal 2021 iaitu Mei dan September di mana ia telah masing-masing dihoskan oleh Kanada dan New Zealand.

Kenyataan menyatakan bahawa Ketua Pembangunan Perniagaan dan Sokongan DARe, Dayang Norlela binti Suhailee selaku pengerusi APEC SMEWG telah menyampaikan laporan SMEWG yang mengetengahkan aktiviti-aktiviti utama kumpulan kerja itu dan hasil dapatan bagi 2021.

Kenyataan Menteri-menteri PKS APEC 2021 yang disokong dapat dimuat turun daripada https://www.apec.org/Meeting-Papers/Sectoral-Ministerial-Meetings/Small-and-Medium-Enterprise/2021 sme.