APEC: Lengkapi penduduk kemahiran digital

KUALA LUMPUR, 18 NOV – Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu memastikan ekonominya berada di hadapan cabaran untuk terus relevan.

Pengarah Unit Sokongan Dasar APEC, Dr Denis Hew berkata ini dapat dilakukan dengan menangani cabaran yang wujud yang dijangka dihadapi oleh rantau ini dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

“Bukan hanya melihat kepada pandemik COVID-19, tetapi turut memberi tumpuan kepada isu-isu seperti wujudnya pelbagai jenis teknologi digital, kecerdasan buatan.

“Kita juga mempunyai cabaran demografi dengan banyak ekonomi menghadapi penduduk yang semakin berusia, yang bermakna pengurangan tenaga buruh dan pertumbuhan ekonomi yang mampan. Banyak ekonomi APEC adalah ekonomi berpendapatan sederhana,” katanya pada taklimat secara maya mengenai Analisis Trend Serantau APEC hari ini.

Menurut analisis itu yang diterbitkan baru-baru ini, peralihan kepada pendigitalan tidak dapat dielakkan dan ekonomi perlu memperuntukkan dana yang diperlukan untuk membina infrastruktur teknologi yang lebih dipercayai.

Ekonomi APEC juga perlu melatih semula atau meningkatkan kemahiran penduduk mereka dengan kemahiran digital untuk menyertai ekonomi dan menyemarakkan semula inovasi ke arah produktiviti yang lebih tinggi dan pengeluaran ekonomi yang lebih baik, menurut laporan itu.

Sementara itu, Hew berkata terdapat kebimbangan mengenai perangkap pendapatan sederhana dalam kalangan ekonomi APEC dan ini dapat ditangani dengan menggalakkan inovasi dan melihat kepada kemahiran pekerja untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Beliau berkata terdapat petunjuk awal kepada pemulihan ekonomi dalam ekonomi APEC, terutamanya mereka yang melaksanakan ekonomi digital.

“Dalam tempoh ini, ramai daripada kita menggunakan pelbagai jenis platform digital untuk kerja, pendidikan dan membeli-belah barangan runcit secara dalam talian. Antara sektor ini iaitu aplikasi pelbagai jenis teknologi digital akan menyaksikan pemulihan yang kukuh,” katanya. – Bernama