APEC: Para pemimpin seru pemulihan inklusif

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Kerajaan Negara Brunei Darussalam semasa menyertai Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC (AELM) ke-28, malam ini, mengalu-alukan Pelan Tindakan Aotearoa yang akan memandu usaha-usaha APEC pada masa hadapan yang sepakat dengan visi sama tahun lalu untuk dicapai menjelang 2040.

Dalam hal tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam turut mengongsikan tiga perkara semasa berkenan menyertai para Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dalam mesyuarat secara maya itu dari Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman.

Terdahulu, mesyuarat dipengerusikan oleh Perdana Menteri New Zealand, Puan Yang Terutama Jacinda Ardern selaku pengerusi APEC tahun 2021 antara lainnya memberikan tumpuan kepada pemulihan daripada COVID-19 untuk membangun kemakmuran rakyat dan generasi masa hadapan.

Semasa bertitah menyatakan ekonomi global masih lemah dan banyak lagi yang perlu dilaksanakan bagi pemulihan lebih mampan, Baginda Sultan turut menekankan bahawa APEC perlu menghidupkan semula dan memperkembangkan aktiviti-aktiviti perdagangan dan perekonomian.

Usaha-usaha perlu memfokuskan kepada mengekalkan pembukaan pasaran, mengukuhkan rantaian nilai global dan memastikan sistem perdagangan pelbagai hala yang bebas, terbuka dan telus, di bawah kawalan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan menyertai AELM ke-28 secara maya dari Istana Nurul Iman.
ATAS & BAWAH: KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah bersama para pemimpin APEC semasa mesyuarat AELM ke-28 secara maya dari Istana Nurul Iman.

APEC juga, tekan Baginda, perlu menyediakan persekitaran yang kondusif bagi perniagaan-perniagaan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk kembali pulih dan berkembang.

Negara Brunei Darussalam juga mengakui kepentingan teknologi sebagai kaedah bagi menjana peluang-peluang perekonomian yang baharu.

Dalam hubungan ini, tambah Baginda, kerjasama APEC perlu memperkembangkan potensi teknologi dan pendigitalan bagi transformasi industri, menggalakkan inovasi, dan pembangunan infrastruktur.

Kedua, APEC perlu memastikan kesihatan dan kesejahteraan sosioekonomi penduduknya, terutama bagi yang teruk terjejas oleh pandemik.

Untuk itu, APEC perlu menganjurkan dasar yang memastikan mereka memperoleh pendidikan yang berkualiti; perkhidmatan penjagaan kesihatan awam yang asas dan bantuan sosial yang mencukupi.

Baginda juga bertitah menyatakan pembaharuan-pembaharuan juga perlu untuk menyediakan pekerjaan yang berkualiti, pasaran buruh yang inklusif dan tenaga
kerja yang siap-siaga masa hadapan.

Sehubungan ini, inisiatif-inisiatif APEC akan dapat mendukung usaha-usaha dalam mengembangkan bidang-bidang tersebut ke arah pembangunan manusia era baharu.

Terakhir sekali, APEC perlu melaksanakan agenda hijau dan pertumbuhan yang mampan.

Negara Brunei Darussalam mengakui bahawa tidak ada satu pendekatan sama yang dapat memenuhi keperluan semua, mengambil kira tahap pembangunan yang berbeza bagi setiap negara.

Sebagai penjana idea, APEC mampu memberikan nilai tambah kepada agenda tindakan iklim, di samping peluang untuk mengongsikan amalan-amalan terbaik dan tindakan-tindakan dasar yang akan dapat mendukung peralihan pencemaran ke tahap lebih rendah.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia memuji New Zealand atas kejayaannya dalam memacu usaha-usaha pemulihan di rantau Asia Pasifik, dan di bawah kepimpinan New Zealand, APEC telah memaparkan kesepaduan dalam tindakan-tindakannya menangani impak-impak COVID-19.

Pada mengakhiri titah, Baginda juga mengucapkan selamat maju jaya kepada perdana menteri Thailand, selaku bakal pengerusi APEC, dalam usaha untuk memastikan masa depan yang inklusif, mampan dan makmur bagi rantau Asia Pasifik.

Terdahulu sebelum itu, pengerusi APEC 2021 dalam ucapan pembukaannya, antara lainnya mengambil maklum bahawa ekonomi-ekonomi APEC telah mengalami pengurusan pandemik COVID-19 yang unik ke arah mempercepatkan pemulihan ekonomi; memastikan perniagaan-perniagaan mampu bertahan serta memastikan pekerjaan untuk orang ramai; dan mempertahankan respons yang saksama.

PYT Jacinda Ardern juga menggesa untuk memperkukuhkan lagi penglibatan belia dalam rantau APEC dengan memastikan kerjasama dan masa hadapan digital untuk semua.

Dalam mesyuarat itu, para pemimpin juga telah mendengarkan pembentangan daripada Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva yang antara lainnya menekankan bahawa risiko terhadap pemulihan daripada pandemik telah meningkat termasuk perbezaan pendapatan ekonomi-ekonomi APEC memandangkan terdapat tahap vaksinasi dan ruang fiskal yang berlainan; peningkatan tekanan inflasi serta
keperluan untuk mentransformasikan ekonomi-ekonomi untuk menjadi lebih digital dan inklusif.

Para pemimpin juga menyeru sokongan berterusan APEC terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang berdasarkan peraturan dan terbuka dalam mencapai pemulihan inklusif dan mampan untuk rantau ini, termasuk melalui pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang tepat pada masanya.

Bagi menyokong pemacuan pemulihan ekonomi, para pemimpin turut mengalu-alukan pemudahcaraan perdagangan bersandarkan teknologi digital dan inovasi serta peningkatan mobiliti barangan dan manusia. Selain itu, APEC juga perlu mempertimbangkan bagi keseimbangan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial dalam menangani isu perubahan iklim, demi memastikan manfaat dapat diraih bersama.

Perdana Menteri New Zealand semasa menyampaikan ucapan penutup telah menggesa APEC untuk giat berusaha ke arah mencapai akses universal kepada vaksin serta menangani halangan bagi mendapatkan liputan vaksinasi maksima.

APEC dapat berusaha untuk menyokong pergerakan rentas sempadan serta meningkatkan peluang-peluang dan keberhasilan sosial bagi penduduk-penduduknya. Disebabkan kesan-kesan COVID-19 yang tidak seimbang, APEC boleh menyelaraskan pemulihan dengan matlamat jangka panjang untuk mencapai ekonomi-ekonomi yang mampan dan inklusif.

Pada penghujung mesyuarat, Deklarasi Ketua-ketua Ekonomi APEC telah diluluskan dan Pelan Tindakan Aotearoa telah disahkan.