Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    APEC: Pemimpin dunia tiba di Bangkok

    BANGKOK, 17 NOV – Pemimpin dunia mula tiba di Thailand hari ini menjelang Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-29 di Bangkok bagi membincang cara untuk membawa rantau itu ke arah pemulihan ekonomi yang mampan dan inklusif selepas pandemik COVID-19.

    AELM di Bangkok adalah sidang kemuncak bersemuka pertama kumpulan itu dalam tempoh empat tahun.

    Presiden China Xi Jinping, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern, Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, Perdana Menteri Korea Selatan Han Duck Soo adalah antara pemimpin yang tiba hari ini untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-29 serta melawat Thailand.

    Pemimpin lain yang juga tiba hari ini ialah Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Malaysia akan diwakili oleh Wakil Khas Perdana Menteri Malaysia, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang turut tiba hari ini.

    Sesi Pleno Mesyuarat Menteri-menteri APEC ke-33 semasa Sidang Kemuncak APEC di Bangkok, Thailand pada 17 November. – AP

    Sidang kemuncak bertema ‘Terbuka. Sambung. Seimbang.’ akan berlangsung di Pusat Konvensyen Nasional Ratu Sirikit (QSNCC) di Bangkok.

    Terdahulu, Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha pada acara perniagaan prasidang kemuncak berkata keutamaan APEC akan dipandu oleh Ekonomi Bio-Circular-Green (BCG) yang diperkenalkan Thailand sebagai strategi pemulihan COVID-19, dan pelan tindakan pertumbuhan dalam jangka panjang yang lebih seimbang, mampan dan inklusif.

    “Ekonomi BCG mensinergikan pendekatan biopekeliling dan ekonomi hijau, menggunakan teknologi dan inovasi baharu untuk mencipta nilai, meningkatkan kecekapan sumber dan menggalakkan kelestarian alam sekitar,” katanya pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC 2022.

    Di luar acara, Presiden China Xi Jinping dijangka mengadakan perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida hari ini.

    Malam ini para pemimpin dan wakil kerajaan akan menghadiri Makan Malam Gala yang dihoskan oleh Prayuth di Dewan Persidangan Tentera Laut Diraja Thai.

    Pada Jumaat, para pemimpin APEC akan menghadiri Pemukiman Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-29 (AELM) dan Dialog Tidak Rasmi Pemimpin APEC mengenai Menggalakkan Perdagangan dan Pelaburan Mampan antara APEC dan Rakan Dagangannya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...