BANGKOK, 22 MEI – Menteri Perdagangan Thailand Jurin Laksanawit menggesa anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) meningkatkan usaha untuk bersiap sedia menghadapi krisis masa depan serta mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh dan inklusif.
Jurin berucap dalam mesyuarat peringkat menteri-menteri perdagangan kumpulan itu di Bangkok yang berlangsung selama dua hari,
Mesyuarat itu diadakan bagi memperincikan perspektif ekonomi mengenai masa depan dasar perdagangan, terutamanya memulih dan mengukuhkan integrasi ekonomi serantau, menyokong sistem perdagangan pelbagai hala dan menghubungkan semula masyarakat dunia, perniagaan, perdagangan dan pelaburan.
“Saya amat berharap hasil mesyuarat ini akan merangkumi dasar pendirian yang kukuh mengenai pemulihan ekonomi serantau selepas dilanda pandemik COVID-19, dan kita harus muncul lebih kuat berbanding sebelum ini untuk berdepan krisis pada masa depan,” katanya mene-rusi satu kenyataan yang dikeluarkan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri APEC yang Bertanggungjawab bagi Perdagangan.
Sebagai tuan rumah APEC 2022, Thailand telah memilih tema “Terbuka. Berhubung. Seimbang” dalam menunjukkan rantau itu perlu kritikal dalam meneruskan dengan tugasnya untuk memudahkan perdagangan serta pelaburan yang bebas dan terbuka, menggalakkan ketersambungan yang lancar, serta memupuk pertumbuhan yang seimbang, inklusif dan mampan.
Menteri-menteri perdagangan bersidang berlatar belakangkan pertumbuhan ekonomi yang sederhana dan peningkatan inflasi yang melanda negara anggota APEC.
Jurin berkata negara anggota perlu memajukan lagi perdagangan digital dan e-dagang, contohnya, menggalakkan pemulihan ekonomi, dan mengukuhkan ketersambungan semua dimensi, merangkumi manusia, barangan dan perkhidmatan.
“Kami ingin melihat ekonomi APEC lebih bersedia bertindak balas terhadap krisis masa depan dan mencapai pertumbuhan ekonomi lebih baik dan inklusif pada masa hadapan.
“Saya menggesa semua negara anggota untuk menggunakan mesyuarat ini sebagai peluang mempromosikan kerja APEC ke arah hasil yang ketara,” katanya. – Bernama