BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Dialog Dasar Menteri Maya Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) mengenai Keselamatan Makanan telah diadakan secara persidangan video hari ini.
Dialog dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan turut dihadiri oleh menteri-menteri APEC dan wakil-wakil tertinggi yang bertanggungjawab bagi keselamatan makanan.
Turut menyertai dialog tersebut bagi mewakili Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.
Menurut kenyataan yang diterima dari Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, hari ini, menteri-menteri APEC dan wakil-wakil tertinggi yang bertanggungjawab bagi keselamatan makanan meluahkan rasa simpati berhubung dengan pandemik COVID-19 dan kesannya terhadap kehidupan, keselamatan makanan, pertanian dan perikanan, termasuk rantaian bekalan makanan di rantau ini, dan turut mengambil maklum mengenai usaha ekonomi yang dijalankan dalam melawan penularan wabak COVID-19 serta impak terhadap makanan dan pertanian.
Selain daripada itu, dalam dialog tersebut menteri-menteri APEC turut menyeru untuk mengukuhkan perpaduan ekonomi dan kerjasama serta meneruskan usaha untuk membantu bagi memastikan sistem makanan global kekal terbuka, inovatif, boleh dipercayai, berdaya tahan, mudah dicapai dan mampan.
Mesyuarat turut menyeru negara-negara APEC untuk memberikan tumpuan bagi menepati keperluan golongan yang kurang kemampuan dan mengukuhkan ketahanan agar lebih bersedia menangani pandemik pada masa akan datang.
Dialog turut menekankan pentingnya menangani kekacauan terhadap sumber pekerjaan dan pendapatan, terutama bagi golongan yang terdedah, yang mana keselamatan makanan mereka terkesan oleh pandemik.
Sehubungan dengan itu, para menteri APEC mengulangi komitmen untuk terus memberikan sokongan pemulihan ekonomi sejajar dengan tema APEC 2020, serta mencapai sistem makanan yang mampan di rantau ini.
Menteri-menteri APEC pada persidangan itu turut mengambil perhatian mengenai APEC Food Security Roadmap Towards 2020, APEC Action Plan for Reducing Food Loss and Waste, APEC Food Security Business Plan dan Action Plan to Enhance Connectivity of APEC Food Standards and Safety Assurance.
Ahli-ahli ekonomi turut mengambil perhatian untuk mengkaji semula APEC Food Security Roadmap Towards 2020 dan menanti kemajuan pembangunan peta jalan baharu pasca-2020 tahun hadapan.
Mesyuarat Menteri APEC mengenai Keselamatan Makanan akan dihoskan oleh New Zealand pada 2021.
Turut hadir semasa dialog tersebut ialah setiausaha tetap dan pegawai-pegawai dari Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Jabatan Pertanian dan Agrimakan dan Jabatan Perikanan.