Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Apek Maarof rangkul juara keseluruhan

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    SERIA, 22 Jan – Awang Apek Maarof dari Negara Brunei Darussalam telah merangkul kejuaraan dalam Kategori Juara Keseluruhan Kejohanan Perahu Laju Kawalan Jauh yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung Pandan B dengan kerjasama Jabatan Daerah Belait, Belait RC Boat dan Syarikat Zainurmah yang berlangsung di Taman Rekreasi Jubli Anduki di sini.

    Kejohanan tersebut yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat lalu, telah berakhir hari ini, dengan disertai oleh sebanyak tujuh buah negara iaitu Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Indonesia, Vietnam, Emiriah Arab Bersatu, Singapura dan Thailand.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah kepada para pemenang pada majlis hari ini ialah, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Menjuarai Kategori Kelas A, Somchai dari Thailand, sementara Kategori Kelas D, Beever Bee dari Thailand, Tee dari Thailand pula menjuarai dua kategori iaitu Kelas E dan Kelas F, Kategori Kelas G pula dijuarai oleh Dawut juga dari Thailand, dan Awang Apek Maarof telah memenangi Kategori Kelas H dan Kelas I.

    Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (dua kiri) bergambar bersama para pemenang.
    Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (dua kiri) bergambar bersama para pemenang.
    Tetamu kehormat bergambar bersama pemenang Kategori Juara Keseluruhan, Awang Apek Maarof dari Negara Brunei Darussalam.
    Tetamu kehormat bergambar bersama pemenang Kategori Juara Keseluruhan, Awang Apek Maarof dari Negara Brunei Darussalam.

    Ketua Kampung Pandan B, Haji Abdul Malek bin Haji Abu Bakar, juga selaku penasihat kejohanan tersebut memberitahu, kejohanan itu diadakan antara lain bertujuan untuk merapatkan silaturahim dengan negara-negara sahabat dan sekali gus bagi memajukan sukan perahu kawalan jauh, bukan sahaja di dalam negara malah diiktaraf di antarabangsa.

    Selain itu ia juga dihasratkan untuk memperkenalkan Negara Brunei Darussalam dalam industri pelancongan.

    Turut hadir pada majlis hari ini, ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara bagi Daerah Belait, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin, selaku Penghulu Mukim Liang, Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Pegawai Daerah Belait Haji Haris bin Othman dan ketua-ketua kampung Daerah Belait.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda