LA TESTE-DE-BUCH, PERANCIS, 17 JULAI – Gelombang haba pada musim panas telah mencetuskan kebakaran hutan di sepanjang barat daya Eropah yang menunjukkan belum ada tanda-tanda api itu akan reda hari ini, ketika sebahagian dari benua itu bersedia untuk mencatat rekod suhu terbaru pada awal minggu depan.
Anggota bomba di Perancis, Portugal, Sepanyol dan Greece bekerja keras untuk memadamkan kebakaran yang memusnahkan ribuan hektar tanah dan membunuh beberapa orang kakitangan sejak bermulanya kebakaran itu pada minggu ini.
Kejadian itu adalah gelombang haba kedua yang melanda barat daya Eropah dalam beberapa minggu dan para ahli saintis menyalahkan perubahan iklim serta menjangka gelombang haba itu akan kerap berlaku dan cuaca ekstrem itu menjadi lebih teruk.
Sementara itu, pasukan bomba di bandar persisiran Arcachon di barat daya wilayah Gironde di Perancis tengah bertungkus-lumus mengawal kebakaran yang berlaku di dua kawasan perhutanan yang memusnahkan lebih dari 10,000 hektar sejak Selasa lalu.
Perintah pemindahan yang dibuat kelmarin adalah untuk beberapa ratusan penduduk, kata jurucakap bomba, Arnaud Mendousse kepada AFP.
Sejak Selasa lalu, lebih dari 14,000 orang – gabungan daripada penduduk dan pelancong – telah pun dipindahkan ke tujuh tempat perlindungan kecemasan yang dibina untuk mangsa kebakaran.
Jabatan kaji cuaca Perancis meramalkan suhu akan meningkat kepada 41 darjah Celsius di beberapa bahagian selatan Perancis hari ini, termasuk 35 buah kawasan di barat laut, dengan jangkaan rekod suhu panas terbaharu Isnin ini.
Kelmarin, Perancis telah mengerahkan lagi 22 jabatan, terutamanya di pesisir Atlantik, dengan amaran tinggi berwarna jingga, menjadikan jumlah terkini kepada 38. – AFP