Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Alumni Pesara Jabatan Pendidikan Teknik (APJPT), hari ini, telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Arwah di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Jerudong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah mantan Pengarah Pendidikan Teknik, Kementerian Pendidikan, Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Abu Bakar.
Majlis terlebih dahulu telah dimulakan dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Arwah oleh Imam Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Haji Zamhari bin Haji Ibrahim.
Kemudian, majlis diteruskan dengan sesi bergambar ramai diikuti dengan ucapan daripada bekas pengetua Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah (MKJB), Haji Nazamsah bin Haji Ibrahim selaku pengerusi jawatankuasa sementara.
Dalam ucapannya, beliau antara lain menyentuh mengenai pembentukan jawatankuasa sementara hasil daripada curahan beberapa orang mantan guru dalam satu perjumpaan ‘Mini Reunion DTE’ yang telah diadakan pada hujung tahun lalu.
“Curahan tersebut ialah cadangan untuk mengadakan beberapa aktiviti berkebajikan dan santai bagi semua pesara pegawai dan kakitangan yang di bawah Jabatan Pendidikan Teknik termasuklah dari semua institusi teknik dan vokasional, maktab jururawat, Unit Pendidikan Lanjutan, Building Trades School, Pusat Latihan Teknikal Brunei (PLTB) dan Sekolah Kejuruteraan Jefri Bolkiah yang ditubuhkan sejak 1970an lagi,” katanya.
Daripada perjumpaan tersebut, tambah beliau, satu jawatankuasa sementara dicadangkan bagi mengungkayahkan beberapa aktiviti seperti majlis berkenaan.
Haji Nazamsah juga mengongsikan bahawa APJPT dibentuk dengan matlamat untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan semua pesara Jabatan Pendidikan Teknik selain untuk mengenang dan merista kepada generasi belia masa ini akan sumbangan dan khidmat bakti semua guru ke arah mengembangkan pendidikan teknik dan vokasional bermula 1970an hingga pada masa ini yang telah melahirkan ribuan anak Brunei yang mahir dan berkelulusan dalam bidang teknik dan vokasional.
Di samping itu juga untuk mengadakan aktiviti-aktiviti berkebajikan ke arah menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan belia-belia di negara ini dalam bidang kemahiran yang bersesuaian berdasarkan kepakaran dan ilmu-ilmu yang dimiliki oleh guru-guru.
Manakala itu, Dato Paduka Haji Mustafa dalam ucapannya pula menyentuh mengenai keadaan dunia yang telah banyak berubah daripada keadaan yang mereka alami pada generasi yang lalu.