Aplikasi BruHealth masih dalam tahap permulaan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Aplikasi BruHealth masih dalam tahap permulaan pelaksanaan, oleh itu, terdapat beberapa isu yang mungkin dihadapi oleh orang ramai semasa pendaftaran atau mengemas kini status kesihatan mereka setiap hari.

Pada masa yang sama, aplikasi berkenaan pada masa ini, sedang dikemaskinikan lagi untuk memudahkan penggunaannya terutama sekali bagi mereka yang tidak dapat memuat turun aplikasi berkenaan disebabkan rangkaian yang lama.

Kementerian Kesihatan juga meminta kerjasama orang ramai untuk bersabar dan mengambil sikap berhemah serta bersopan-santun apabila menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 untuk mendapatkan apa jua nasihat dan bantuan.

“Sesiapa yang didapati menggunakan kekerasan dan kekasaran kepada kakitangan yang bertugas boleh diambil tindakan undang-undang,” tegas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau seterusnya berkata bahawa terdapat banyak premis yang telah mendaftar dan menggunakan kod QR BruHealth.

Namun, pada masa yang sama telah didapati sebilangan pengurus perniagaan telah memberikan maklumat palsu dalam pengisian jumlah kapasiti bagi premis mereka.

Yang Berhormat Dato menegas-kan, “Ini adalah satu kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204) yang mana jika didapati bersalah boleh membawa denda sehingga $10,000 atau penjara sehingga tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Kementerian Kesihatan ingin menegaskan bahawa sesiapa yang didapati melanggar atau ingkar akan mana-mana arahan yang telah dikeluarkan, kementerian ini tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

“Pihak kerajaan akan menjalankan rondaan secara rambang bagi memastikan arahan ini dipatuhi,” beliau menekankan.

Di samping itu, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa terdapat sebilangan restoran yang mengalami kesukaran terutama apabila kuota pelanggan yang telah dibenarkan diisikan oleh pelanggan bawa balik dan pelanggan yang lupa mengimbas kod QR mereka semasa keluar dari restoran berkenaan.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan, jelasnya, telah membuat pembaharuan yang mana pelanggan-pelanggan yang berdaftar melebihi 2 jam akan ditolak daripada kuota secara langsung daripada sistem BruHealth.

Manakala itu, bagi restoran yang juga memberikan perkhidmatan bawa balik, satu ciri juga akan diperkenalkan bermula 22 Mei, yang mana kod QR berasingan bagi pelanggan bawa balik boleh dibuat bagi premis yang sama melalui www.healthinfo.gov.bn/register.