Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Aplikasi BruHealth pemenang BICTA 2022

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Aplikasi BruHealth oleh Kementerian Kesihatan diumumkan sebagai penerima Anugerah Penaung Diraja Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2022 di mana ia dianugerahkan kepada pemenang terbaik keseluruhan daripada kalangan semua kategori Anugerah BICTA 2022.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Penaung Diraja BICTA berkenan berangkat seterusnya menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada pemenang-pemenang Anugerah BICTA 20922 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

    Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan dengan produk AI CARE, muncul sebagai juara bagi Kategori Sekolah dan memenangi trofi sumbangan imagine Sdn Bhd, sijil dan hadiah wang tunai sebanyak $3,000, sementara Sekolah Menengah Berakas dengan produk MidoriSAWI memenangi hadiah kedua dengan trofi sumbangan Dynamik Technologies Sdn Bhd, sijil dan hadiah wang tunai berjumlah $2,000.

    Manakala itu, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS) dengan produk SignSpeak, memenangi tempat ketiga dan menerima trofi sumbangan Alif Technologies Sdn Bhd, sijil dan wang tunai sebanyak $1,000.

    Tidak ada pemenang di tempat pertama bagi Kategori Pengajian Tinggi dengan Universiti Teknologi Brunei (UTB) diumumkan sebagai naib juara dengan produk Smart Paddy Irrigation System sekali gus memenangi trofi sumbangan Dynamik Technologies Sdn Bhd, sijil dan hadiah wang tunai sebanyak $3,500.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah Penaung Diraja BICTA 2022 kepada wakil Kementerian Kesihatan.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah Khas kepada CodeBit Company dengan produk, AI Pipeline for Receipts Digitisation bagi teknologi AI.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah juara Kategori Sekolah kepada Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan.

    UTB juga memenangi tempat ketiga dengan produk Smart Waste Bin System with Beacon Technology dan menerima trofi sumbangan Alif Technologies Sdn Bhd, sijil dan hadiah wang tunai sebanyak $1,750.

    Bagi Kategori Industri ICT, Kementerian Kesihatan dengan produk BruHealth, mendapat tempat pertama dan memenangi hadiah berupa trofi sumbangan imagine Sdn Bhd, sijil dan hadiah wang tunai sebanyak $10,000.

    Techbru Solution (B) Sdn Bhd memenangi tempat kedua bagi produk bernama KedaiPOS dan menerima trofi sumbangan Dynamik Technologies Sdn Bhd, sijil dan hadiah wang tunai sebanyak $5,000.

    Sementara itu, Network Integrity Assurance Technologies (NiAT) Sdn Bhd memenangi tempat ketiga bagi produk OBSERVE dengan menerima trofi sumbangan Alif Technologies Sdn Bhd, sijil dan wang tunai sebanyak $2,500.

    Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menyempurnakan penyampaian Anugerah Khas yang diberikan kepada peserta yang mempunyai projek paling relevan kepada kriteria Anugerah Khas BICTA 2022.

    Pemenang-pemenang bagi Anugerah Khas ialah BruIOT, CodeBit Company, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD)/UTB serta Thryffy Technologies.

    Tidak ada penerima Anugerah Khas bagi Projek Penyelidikan dan Perkembangan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...