Aplikasi E-Culture Sabah digunakan 1 Jan

KOTA KINABALU, 2 DIS – E-Culture Sabah yang dibangunkan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dengan kerjasama syarikat Alpha Graphic Mobile Apps Developer, dijangka mula digunakan pada 1 Januari depan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata aplikasi untuk peranti android itu telah siap dibangunkan manakala bagi Apple iOS sedang dibangunkan dan akan siap sepenuhnya pada akhir Disember ini.

Beliau berkata aplikasi E-Culture yang boleh dimuat naik secara percuma itu akan membolehkan orang awam khususnya penyelidik, pelajar institut pengajian tinggi, pelajar sekolah dan pelancong tempatan mengetahui dan mempelajari budaya etnik-etnik Sabah secara berterusan atau mudah alih.

“Dalam aplikasi itu, memaparkan maklumat tentang etnik-etnik dan budaya yang terdapat di Sabah. Maklumat ini dipaparkan dalam bentuk infografik yang padat dan mudah difahami merangkumi tujuh pengenalan budaya.

“Bagi pengguna yang meminati permainan melalui telefon mudah alih, permainan ‘mini puzzle’ dalam E-Culture Sabah juga turut diperkenalkan. Oleh itu, pengguna boleh bermain untuk mengisi masa lapang sambil mempelajari budaya yang terdapat di Sabah,” katanya. – Bernama