Aplikasi eZCyberCrime bantu tangani jenayah siber

NILAI, 11 JUN – Sejajar hasrat memenuhi kehendak Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), sebuah aplikasi telefon pintar yang dikenali sebagai eZCyberCrime telah dibangunkan bagi mengatasi jenayah siber khususnya melibatkan perbankan elektronik.

Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Madihah Mohd Saudi berkata eZCyberCrime yang boleh diakses menerusi telefon pintar itu beroperasi untuk mengesan eksploitasi sumber berdasarkan beberapa ciri pengawasan yang dibina.

“Ciri pengawasan ini termasuklah secara pengesanan dan gerak balas automatik,” katanya kepada Bernama, di sini.

Katanya, dalam kajian yang dijalankan selama lima tahun sejak 2014, pihaknya telah menemukan satu penyelesaian untuk aplikasi eZCyberCrime berfungsi tanpa mengganggu prestasi dan bateri telefon pintar.

“Malah dapat memaparkan keputusan dalam masa yang singkat. Produk inovasi ciptaan kumpulan penyelidik ini menggabungkan tiga ciri iaitu teknik kecerdasan buatan, analitik pintar dan konsep sistem imunologi manusia yang dikenali sebagai apoptosis.” – Bernama