Aplikasi jejaki kontak koronavirus dilancarkan

SYDNEY, 26 APRIL – Australia hari ini telah melancarkan aplikasi telefon pintar untuk menjejaki orang yang mempunyai kontak dengan pesakit koronavirus meskipun kebimbangan privasi yang dikatakan pihak berkuasa sebagai tidak wajar.

Aplikasi COVIDSafe menggunakan isyarat wayarles Bluetooth telefon untuk menyimpan maklumat mengenai interaksi orang, dan boleh diakses oleh pegawai kesihatan sekiranya seseorang itu dijangkiti koronavirus.

Ketua pegawai perubatan Australia, Brendan Murphy berkata aplikasi itu akan mempercepat ‘kerja memenatkan’ bagi pihak berkuasa kesihatan untuk menjejaki pengguna yang berada 1.5 meter dari seseorang yang mempunyai virus berkenaan.

“Apa yang dilakukan oleh aplikasi adalah memberikan senarai nombor telefon bimbit orang yang mempunyai kontak dalam jarak berkenaan selama 15 minit atau lebih,” kata beliau.

“Ia seterusnya membawa kepada seseorang yang mempunyai kontak sehari atau dua hari lebih awal.”

Aplikasi itu adalah percuma dan pendaftaran adalah secara suka rela, meskipun cadangan awal mengatakan ia mungkin dijadikan mandatori.

Dalam usaha untuk meredakan kebimbangan privasi, pengguna boleh menggunakan nama palsu dan polis tidak dapat mengakses data untuk menyiasat jenayah, sementara semua maklumat akan dihapuskan secara automatik selepas 21 hari. – AFP