MOSCOW, 24 DIS – Aplikasi mesej Telegram akan melancarkan perkhidmatan berbayar pada 2021, kata pengasas kelahiran Rusia, Pavel Durov kelmarin ketika syarikat itu memerlukan ‘sekitar ratusan juta dolar setahun’.
“Telegram akan mula menjana pendapatan bermula tahun hadapan,” kata Durov dalam satu kenyataan.
“Kami akan dapat melancarkan banyak ciri-ciri baharu dan mengalu-alukan bilion pengguna baharu.”
Durov, 36, berkata dia tidak merancang untuk menjual syarikat itu namun mencari jalan lain untuk menghasilkan pendanaan.
Ia telah menarik hampir 500 juta pengguna aktif sejak Durov dan adiknya, Nikolai melancarkannya pada 2013.
“Bagi kebanyakan sejarah Telegram, saya membayar perbelanjaan syarikat daripada hasil wang peribadi saya,” kata Durov.
“Bagaimanapun, dengan perkembangan semasa Telegram hampir mencecah bilion pengguna sudah masanya ia memerlukan pembiayaan sewajarnya.”
Menurutnya, ciri-ciri percuma akan kekal percuma. – AFP






























