Aplikasi mudah alih G.O on the Go diperkenalkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Untuk memudahkan warga perkhidmatan awam mencari sumber rujukan mengenai hal ehwal pentadbiran dan pengurusan sumber manusia dalam perkhidmatan awam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memperkenalkan aplikasi mudah ali G.O on the Go, hasil kerjasama Universiti Teknologi Brunei (UTB), baru-baru ini.

Aplikasi tersebut mengandungi maklumat-maklumat daripada buku ‘Peraturan-peraturan Am atau Perkhidmatan dan Hal Ehwal Pengurusan Dalam Perkhidmatan Awam (General Orders)’ atau lebih dikenali sebagai ‘Buku Biru’ atau ‘Buku G.O’.

Ia dihasratkan untuk memanfaatkan kemudahan teknologi terkini dan menjadi sumber rujukan serta panduan bagi warga perkhidmatan awam dalam mengemaskinikan hal ehwal pentadbiran dan pengurusan sumber manusia serta memudahkan pegawai-pegawai yang berhasrat untuk mengambil peperiksaan G.O.

Agensi-agensi swasta juga boleh memanfaatkan aplikasi ini sebagai rujukan atau panduan mengenai peraturan-peraturan am atau perkhidmatan dan hal ehwal pengurusan dalam perkhidmatan awam.

Aplikasi itu turut dilengkapi dengan maklumat-maklumat penting seperti hal ehwal personel, faedah-faedah perkhidmatan, perkembangan kerjaya, hal ehwal kelakuan dan tatatertib, pengurusan serta pentadbiran am dan kaedah pengurusan. Selain itu, pengguna juga dapat memperoleh maklumat-maklumat lain melalui kaedah soalan-soalan lazim (FAQ), contoh-contoh kertas peperiksaan dan kuiz.

Sehubungan itu, pihak JPA berharap aplikasi tersebut akan dapat menyebarluaskan pengetahuan dan kefahaman mengenai peraturan-peraturan am, perkhidmatan dan hal ehwal pengurusan dalam perkhidmatan awam kepada warga perkhidmatan awam dan juga pihak-pihak berkepentingan.

Pada masa yang sama, dengan adanya pengetahuan dan kefahaman yang diperoleh, ia akan mewujudkan perkhidmatan awam yang berkualiti tinggi dan berintegriti. Langkah inovasi ini juga bertepatan dengan tema Hari Perkhidmatan Awam 2020 iaitu ‘Perkhidmatan Awam Berintegriti dan Berinovasi Pemangkin Pembangunan Negara.’

Aplikasi berkenaan boleh dimuat turun melalui Google Play bagi para pengguna Android manakala itu, para pengguna iOS pula akan dapat memuat turun melalui App Store.