Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Mempelbagaikan medium dakwah melalui penyebaran yang berkesan merupakan salah satu strategi Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) ke arah memperkasakan budaya dan amalan penghayatan Al-Quran di Negara Brunei Darussalam.
Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dengan kerjasama Bahagian Teknologi Maklumat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) dan Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, KHEU bersama sebuah syarikat tempatan yang dilantik telah mengungkayahkan projek Aplikasi Mushaf Al-Quran Brunei Darussalam kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis pelancaran, yang telah diadakan di Dewan Persidangan PDI itu, ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Dimuliakan/Yang Arif Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohidin; Pemangku Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai kanan KHEU.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, PDI, Awang Mohd Naqib bin Haji Awang dan ucapan alu-aluan oleh Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

“Alhamdulillah, berkat kerjasama daripada ahli jawatankuasa kerja penyemakan dan pentashihan serta jawatankuasa teknikal, rakaman suara pembaca qari tempatan 30 Juz telah selesai dirakam bertempat di studio mini PDI,” ujarnya.
Majlis diteruskan dengan ucapan tetamu kehormat yang seterusnya berkesudian untuk melancarkan aplikasi Mushaf Al-Quran Brunei Darussalam dan Terjemahannya (Fasa 1).
Menurut Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin, PDI patut mendapat penghargaan kerana dalam tempoh lima tahun terakhir sahaja sebanyak 112 buah buku telah diterbitkannya.
Sebanyak 48 tajuk daripadanya adalah terbitan bersempena sambutan hari-hari kebesaran Islam dan dibahagikan kepada umum secara percuma. Manakala 37 tajuk adalah terbitan khas yang meliputi aspek-aspek agama, sosiabudaya dan juga kenegaraan. Dan selebihnya 27 tajuk adalah buku cetakan ulangan.
Beliau berkata, hal ini adalah suatu perkembangan memberangsangkan dan membuktikan terdapat ramainya penulis yang bukan setakat berbakat dalam penulisan bahkan sudah boleh diakui sebagai penulis-penulis yang kukuh dengan ilmu masing-masing. Hal ini menurutnya lagi sebaiknya diteruskan supaya akan mampu mengetengahkan ramai lagi penulis bidang-bidang agama, bahkan bidang-bidang lain seperti bidang sejarah, sosiabudaya dan kenegaraan.
Proses peralihan daripada mushaf versi cetakan kepada versi digital telah bermula pada tahun 2015 dan untuk peringkat pertama, aplikasi ini dimuatkan dengan paparan Mushaf Brunei Darussalam, Mushaf Al-Quran Brunei Darussalam dan terjemahannya dan paparan tutorial, tambah beliau.
Aplikasi ini akan terus dikemas kini secara berperingkat sehingga selesai dan juga akan dilengkapi dengan audio yang memuatkan suara qari tempatan.
Acara pada pagi kelmarin juga diselajurkan dengan Majlis Pelancaran Buku-buku Terbitan PDI dan penyampaian cenderamata kepada penulis-penulis buku yang disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama.
Antara objektif aplikasi berkenaan ialah untuk menjadikan telefon bimbit dan tablet komputer sebagai media penyebaran mushaf Al-Quran Brunei Darussalam dan terjemahannya yang boleh dimuat turun dengan mudah dan sesuai dengan perkembangan teknologi terkini.
Ianya juga bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk membaca Al-Quran, sekali gus memahami dan menghayati isi kandungannya serta sebagai rujukan sahih yang boleh diguna pakai oleh umat Islam di negara ini dan seluruh dunia amnya.