Aplikasi ‘MyTrace’ kesan kontak pesakit COVID-19

PUTRAJAYA, 3 MEI – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama pakar tempatan telah mengambil inisiatif membangunkan aplikasi MyTrace, yang membolehkan kerajaan mengesan individu yang telah berada berdekatan dengan mereka yang dijangkiti wabak COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata MyTrace adalah pelengkap kepada aplikasi MySejahtera yang telah dilancarkan sebelum ini dan menggunakan teknologi Bluetooth untuk pengesanan kontak dengan individu positif COVID-19.

“Apabila telefon bimbit pengguna MyTrace berada dalam jarak dekat, telefon-telefon itu akan mengesan gelombang Bluetooth untuk mengesan kehadiran masing-masing.

“Berdasarkan kekuatan gelombang Bluetooth yang dikesan, jarak dan tempoh pertemuan pengguna-pengguna boleh dikenal pasti. Data yang dikumpul akan disimpan selama 21 hari di dalam telefon bimbit pengguna,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Beliau berkata aplikasi MyTrace hanya mengumpul maklumat pengguna yang dirahsiakan dan tidak mengumpul sebarang maklumat geo-lokasi.

Ismail Sabri berkata kerajaan amat berharap ramai yang memuat turun dan menggunakan MyTrace bagi memastikan keberkesanannya, dengan menyasarkan penggunaan sekitar 60 peratus pengguna telefon pintar di seluruh negara.

“Sekiranya ada kluster COVID-19 yang baharu dikesan, aplikasi MyTrace dapat membantu Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengesan dan memutuskan jangkitannya secepat mungkin,” katanya.

Aplikasi MyTrace kini boleh dimuat turun melalui Google Play Store bagi peranti jenis Android manakala bagi versi iOS pula, ia boleh didapati tidak lama lagi. – Bernama

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Bangunan Perdana Putra kelmarin. – Bernama