Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Aplikasi PenggunaBijak permudah perancangan pengguna

    Oleh Nurdiyanah R.

    Penggunaan aplikasi merupakan kaedah atau pendekatan yang banyak diguna pakai oleh agensi di sektor swasta dan tidak ketinggalan juga di sektor awam bagi memudahkan dan meningkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.

    Begitu juga dengan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) telah memperkenalkan aplikasi PenggunaBijak pada tahun 2016 yang sememangnya bermatlamat ke arah transfomasi digital dengan menyalurkan maklumat di hujung jari bagi kemudahan orang ramai.

    Apa itu aplikasi PenggunaBijak?
    Dengan moto ‘Maklumat Memperkasa Pengguna’, aplikasi PenggunaBijak mengandungi maklumat-maklumat mengenai barangan yang dikawal harganya seperti minyak masak, susu tepung anak damit, mengenai jualan murah dan diskaun yang ditawarkan oleh premis perniagaan.

    Begitu juga hal yang melibatkan perkongsian mengenai perlindungan pengguna dan kemudahan bagi pengguna membuat aduan berhubung dengan amalan perniagaan yang tidak beretika.

    Aplikasi ini diperkenalkan dengan tujuan untuk memudahkan pengguna dalam membuat keputusan pembelian di mana pengguna dapat membuat perbandingan harga barangan yang terdapat di pasaran. Selain itu, maklumat mengenai keberadaan barangan tersebut juga dapat diperolehi dari aplikasi PenggunaBijak.

    Para pengguna juga dinasihatkan untuk menyimpan bukti pembelian seperti resit, kontrak dan dokumen yang relevan sebagai bukti bagi kemudahan rujukan untuk menyelesaikan aduan.
    Poster PenggunaBijak yang menerangkan secara ringkas isi kandungan dalam aplikasi berkenaan. – Gambar serahan JPES

    Di samping itu, ianya dihasratkan dapat memupuk dan menggalakkan amalan perniagaan yang beretika, telus dan bertanggungjawab dalam kalangan para peniaga serta mewujudkan persekitaran pasaran yang adil.

    Tersedianya maklumat bermanfaat
    Menerusi penggunaan aplikasi PenggunaBijak, ia menyediakan maklumat yang begitu bermanfaat bagi seluruh lapisan masyarakat demi memenuhi pemantauan pembelian keperluan asasi meliputi maklumat perbandingan harga, harga barang makanan dan keperluan asasi, harga kereta, acara jualan murah, bahan pendidikan perlindungan pengguna, dan juga aduan pengguna.

    Apa yang perlu diketahui segala maklumat mengenai barangan dikawal harga di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142.

    Adapun maklumat mengenai harga maksimum yang ditetapkan itu merujuk kepada keperluan asasi merangkumi minyak masak, susu tepung anak damit, beras, gula dan produk tenaga.

    Oleh itu, maklumat berkaitan barangan keperluan harian yang mempunyai permintaan yang tinggi seperti minyak masak, tepung, makanan dalam tin, dan minuman ringan yang dikongsikan oleh peniaga secara mingguan yang dimuatkan dalam aplikasi berkenaan sememangnya amat berguna bagi memudahkan golongan pengguna membuat perbandingan harga di antara premis-premis perniagaan atau syarikat.

    Dalam pada itu, JPES turut memuat naik maklumat berkaitan harga runcit bagi barangan makanan dan keperluan asasi yang dipantau seperti ayam, telur, pelitup muka, dan pensanitasi tangan (hand sanitiser) dan kit ujian pantas antigen (ART).

    Maklumat senarai harga barangan makanan asasi dikemaskinikan pada setiap minggu.

    Selain itu, aplikasi berkenaan juga memuatkan senarai harga indicative on-the-road bagi kenderaan bermotor penumpang yang diperolehi daripada ejen-ejen kenderaan bermotor penumpang di negara ini.

    Di samping itu, aplikasi berkenaan juga membolehkan pengguna untuk mengetahui syarikat-syarikat yang mengadakan acara jualan murah.

    Bahan-bahan pendidikan dan pemberigaan mengenai perundangan berkaitan dengan hal ehwal pengguna berpandukan Perintah Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar), 2011 dan Akta Kawalan Harga, Penggal 142 turut dikongsikan dalam aplikasi tersebut.

    Oleh yang demikian, dalam usaha menyediakan saluran rasmi dalam talian menerusi aplikasi tersebut, ia sememangnya juga bertujuan bagi memudahkan pengguna untuk menyalurkan aduan dengan mudah dan cepat.

    Saranan kepada orang ramai
    Sehubungan itu, JPES dalam kenyataannya turut menyeru orang ramai untuk menggunakan maklumat-maklumat yang di muat naik dalam aplikasi PenggunaBijak bagi meraih manfaat daripadanya.

    Dengan penggunaan maklumat PenggunaBijak dapat memupuk budaya yang bijak dalam merancang perbelanjaan dengan membuat perbandingan harga sebelum membuat keputusan pembelian.

    Selain itu, pengguna yang berpengetahuan dan bermaklumat juga dapat menyumbang dan mewujudkan sikap disiplin dan beretika dalam kalangan para peniaga yang seterusnya akan membantu memacu perkembangan sektor perniagaan runcit di negara ini.

    Oleh itu, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut bolehlah menghubungi Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna, JPES melalui aplikasi PenggunaBijak; Talian Darussalam 123; WhatsApp ke 8333123; atau menghantar emel ke aduan pengguna@jpes.gov.bn. Dalam pada itu, para pengguna juga dinasihatkan untuk menyimpan bukti pembelian seperti resit, kontrak dan dokumen yang relevan sebagai bukti bagi kemudahan rujukan untuk menyelesaikan aduan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...