Aplikasi premisescan diperkenalkan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Ke arah memastikan penggunaan aplikasi BruHealth dapat digunakan oleh semua penduduk warga Negara Brunei Darussalam, satu aplikasi baharu telah dilancarkan iaitu aplikasi PremiseScan bagi mengimbas kod QR peribadi para pengguna.

Aplikasi terbaharu itu akan membolehkan pemilik premis-premis perniagaan seperti restoran-restoran, gim-gim, kedai-kedai dan sebagainya untuk mengimbas kod QR peribadi BruHealth para pelanggan semasa masuk atau keluar dari premis.

Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa di Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Aplikasi PremiseScan merupakan satu penambahbaikan complementary kepada aplikasi BruHealth. Ianya akan membolehkan para pengguna yang tidak dapat mengakses aplikasi BruHealth untuk menggunakan kaedah alternatif semasa masuk atau keluar dari premis-premis perniagaan,” jelas Yang Berhormat Dato.

Beliau menerangkan bahawa para pengguna berkenaan boleh mendapatkan Kod QR peribadi BruHealth terlebih dahulu iaitu dengan melayari laman web www.healthinfo.gov.bn.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa berucap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

“Kod QR tersebut hendaklah dibawa ke premis yang akan dikunjungi untuk diimbas oleh pemilik premis tersebut dengan menggunakan PremiseScan,” jelasnya lagi.

Semasa sidang media tersebut, video tutorial ringkas aplikasi PremiseScan bagi mengimbas kod QR peribadi para pengguna aplikasi BruHealth oleh pemilik-pemilik premis juga turut ditayangkan.

Yang Berhormat Dato kemudiannya mengingatkan kepada semua pengguna dan pemilik-pemilik premis ataupun peniaga-peniaga bahawa kod QR perlulah diimbas sebelum masuk dan keluar dari premis.

Beliau mengingatkan, “Alhamdulillah Negara Brunei Darussalam tidak mencatatkan kes baharu selama 21 hari, namun kita tidak patut leka dan hendaklah sentiasa socially responsible untuk memastikan keberkesanan aplikasi BruHealth.”

Selain daripada premis-premis perniagaan, beberapa premis kerajaan dan premis sektor swasta juga telah menggunakan aplikasi BruHealth ini untuk para pengguna semasa masuk dan keluar premis.

“Melalui penggunaan aplikasi BruHealth ini secara meluas, Insya Allah ianya akan dapat memudahkan ke arah usaha contact tracing,” jelas Yang Berhormat Dato.