Aplikasi sempadan EU bantu rancang perjalanan pelancong

BRUSSELS, 15 JUN – Bolehkah saya pergi bercuti ke Sepanyol? Adakah saya akan diarahkan untuk dikuarantin? Adakah muzium dan restoran dibuka semula?

Bermula hari ini, ketika negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) mempercepatkan pembukaan semula sempadan, persoalan pelancong akan dijawab oleh sebuah laman web rasmi EU.

Pada ruang ‘Re-open EU’ atau reopen.europa.eu, pengunjung boleh memasukkan nama negara yang mereka hendak kunjungi dan mengetahui apa peraturan semasa perintah pergerakan (lockdown) koronavirus.

Laman itu boleh diakses dalam 24 bahasa dan sejauh ini hanya meliputi 27 negara anggota EU – tidak ada maklumat bagi Britain mahupun empat anggota bukan EU dari zon perjalanan Schengen.

Bagi penduduk Perancis, contohnya, boleh merujuk laman itu untuk mengetahui laluan kereta api laju menuju ke Luxembourg yang sedang dipulihkan secara progresif dan berada dalam keadaan 60 peratus normal.

Jika seseorang ingin pergi ke Austria, penutup mulut dan hidung hendaklah dipakai semasa dalam kereta api dan sebelum terbang balik ke Perancis mereka perlu menyediakan kenyataan pengesahan yang mereka tidak mempunyai simptom koronavirus.

Laman itu dan aplikasi yang akan dilancarkan nanti akan dikemaskinikan sebaik saja situasi itu bermula.

Kebanyakan negara-negara EU membuka semula sempadan dalaman mereka dalam blok itu hari ini namun peraturan jarak sosial berlainan di seluruh blok dan beberapa anggota terus menyekat ketibaan dari kawasan-kawasan berisiko tinggi. – AFP