Aplikasi video Zynn diperkenalkan di AS

BEIJING, 7 JUN – Pengeluar aplikasi video pendek China telah membawa persaingan mereka ke luar negara, dengan TikTok menghadapi persaingan sengit daripada pendatang baharu yang telah meningkat popular di luar negara, dengan membayar pengguna supaya terus menggunakan teknologi berkenaan.

Zynn, produk pengeluar aplikasi video nombor dua China, Kuaishou, dilancarkan pada Mei dan menjadi aplikasi percuma paling popular di Apple App Store Amerika Syarikat (AS) sebulan kemudian.

Dengan Zynn, Kuaishou berusaha menyingkirkan TikTok, aplikasi oleh pesaing Bytedance yang telah menjadi sensasi di seluruh dunia.

Pemproses antara muka Zynn adalah hampir sama dengan TikTok, membenarkan pengguna melihat video pendek yang memaparkan pengguna lain menari atau melakukan ‘stunt’ diiringi muzik rancak.

Namun tidak seperti TikTok, Zynn menjanjikan lebih daripada hanya hiburan.

Zynn, yang tidak diperoleh di China, memberi ganjaran kepada pengguna di AS dan Kanada dengan wang tunai apabila mereka menjemput kawan untuk memuat turun aplikasi, sehingga AS$20 untuk setiap jemputan, bergantung pada betapa aktif kawan tersebut menggunakan aplikasi itu.

Pengguna juga memperoleh mata hanya menonton video, yang boleh ditukar kepada wang tunai.

Pengguna di China biasa dengan model Zynn, di mana firma baharu itu telah mencurahkan jutaan yuan dalam hadiah dan wang tunai kepada pengguna demi merebut bahagian pasaran yang lebih besar berbanding pesaing yang menawarkan perkhidmatan yang hampir sama. – AFP

Gambar bertarikh 5 Jun menunjukkan Apple App Store memuat turun laman untuk aplikasi Zynn, platform video milik China di Washington, DC. – AFP