APM sedia kerah lebih ramai ke KLIA, klia2

PUTRAJAYA, 28 SEPT – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersedia menggerakkan lebih ramai anggota bagi membantu penyelarasan proses saringan COVID-19 untuk individu yang tiba dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata 50 anggota APM kini bertugas di KLIA dan klia2 dan dengan keanggotaan lebih 4,000 orang, lebih ramai boleh digerakkan ke dua terminal berkenaan.

“APM sebagai barisan hadapan sedia membantu dan jika diperlukan kita akan tambah bilangan anggota kerana kita ada sumber manusia yang mencukupi,” katanya mengulas aduan dan laporan berhubung kesesakan di terminal lapangan terbang ketika proses saringan COVID-19 terhadap individu yang tiba dari Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Sabtu mengumumkan peraturan mewajibkan semua yang baru tiba dari Sabah menjalani saringan COVID-19 di pintu masuk bermula 27 Sept hingga 10 Oktober. – Bernama

Penumpang baru tiba dari Sabah memakai gelang kuarantin bermaksud perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari ketika tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – Bernama