APMM cari nelayan hilang di perairan Bintulu

BINTULU, 16 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan yang hilang di perairan Bintulu sejak Isnin lepas.

Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, Aziz Jaafar Atahar, 69, dari Kampung Sebuan Kecil, Bintulu, telah keluar ke laut berseorangan pukul 7.30 malam, 13 Mei lepas untuk memancing ikan tetapi tidak pulang sehingga kini.

“Mangsa disyaki hilang di sekitar perairan muara Batang Kemena Bintulu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Effendy berkata, kawasan pencarian adalah seluas 50 batu nautika persegi dengan operasi dibantu  oleh Pasukan Polis Marin serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu.

Beliau menasihatkan sesiapa yang ingin ke laut supaya memakai jaket keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga semasa di perairan. – Bernama