KOTA KINABALU, 20 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu hari ini mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan sebuah bot pancing Ocean Kamara dinaiki 12 individu yang dilaporkan mengalami kerosakan enjin di kawasan perairan pelantar minyak Saint Joseph, dekat sini.
Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Muda Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata bot pancing dengan nombor pendaftaran TN 755/2/F berwarna biru-kuning itu dilaporkan mengalami kerosakan enjin di kedudukan tiga batu nautika barat daya pelantar minyak berkenaan.
APMM menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.35 malam, semalam, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
“APMM telah mengaktifkan operasi SAR pada jam 6.50 pagi tadi dengan menghantar kapal KM Berani dan dibantu oleh dua aset Polis Marin masing-masing sebuah bot dan kapal.
Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, katanya. – Bernama