Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    APMM Labuan tahan kapal bawa 70,000 liter diesel

    LABUAN, 11 NOV – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan menahan sebuah kapal tangki dengan muatan diesel dianggarkan bernilai RM1 juta di kedudukan kira-kira 2.7 batu nautika dari utara Pulau Kuraman dekat sini pada Jumaat lepas.

    Pengarah APMM Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi Idros berkata kapal tangki itu dipintas oleh bot peronda APMM semasa operasi rondaan rutin kira-kira 2:35 pagi.

    “Kapal itu ditemukan berlabuh dengan lampu dimatikan dan dalam keadaan mencurigakan. Semasa pemeriksaan, kapal itu didapati berlepas dari Miri, Sarawak dan membawa kira-kira 70,000 liter diesel dipercayai dipindahkan melalui operasi dari kapal ke kapal,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata pemeriksaan juga mendapati kapal terbabit melanggar beberapa peraturan termasuk kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Izwanhadi berkata tujuh kru warga Indonesia berumur 21 hingga 51 tahun ditahan untuk siasatan manakala kapal itu dan muatan yang dirampas dibawa ke Jeti Zon Maritim Labuan untuk tindakan lanjut. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda