Tuesday, March 25, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    APMM lancar operasi cari lelaki dilaporkan hilang

    KOTA KINABALU, 20 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini melancarkan operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki yang dilaporkan hilang di perairan Dogoton, Pulau Banggi, dekat Kudat, semalam.

    Timbalan Pengarah Operasi Wilayah Maritim Sabah dan Labuan, Kapten (M) Rahim Razali berkata, pihaknya telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat kira-kira 8 malam, semalam.

    “Operasi setakat ini melibatkan aset bot ADAL 04, bot Pengawal 44 milik APMM dan dan PSC 64 milik Pasukan Polis Marim (PPM). Selain itu, lapan bot milik penduduk kampung dan seramai 16 penduduk turut terlibat dalam operasi itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Rahim berkata berdasarkan maklumat, pengadu bersama mangsa menaiki bot untuk menghantar barangan elektrik ke sebuah bot kumpit, dalam perjalanan bot yang dinaiki mereka dipukul ombak menyebabkan bot jenis kayu itu karam.

    “Pengadu cuba membantu mangsa, namun gagal dan mangsa dibawa ombak kuat dan hilang. Pengadu berenang ke bot kumpit untuk mendapatkan bantuan.

    “Usaha mencari mangsa bersama orang kampung gagal dan pengadu kemudian membuat laporan polis serta memohon bantuan pihak maritim jam 7:21 malam,” katanya, dan menambah mangsa dimaklumkan tidak pandai berenang dan tidak memakai jaket keselamatan.

    Rahim turut mengingatkan komuniti maritim memaklumkan pasukan keselamatan dengan segera jika berlaku sebarang insiden di laut supaya operasi mencari dan menyelamat dapat dikoordinasi selain memastikan jaket keselamatan dipakai. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda