APMM Sabah tahan bot nelayan tempatan gaji PTI

KOTA KINABALU, 20 JULAI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikesan menggaji pekerja tanpa izin (PTI) warga Indonesia, pada kedudukan kira-kira 1.20 batu nautika timur Tanjung Tavajun, dekat sini pada 11 pagi, semalam.

Pengarah  APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata bot berkenaan ditahan kapal maritim yang melakukan rondaan di kawasan perairan daerah ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 19 daripada 20 orang pekerja bot nelayan berkenaan gagal mengemukakan dokumen yang sah dan kesemua mereka dipercayai warga Indonesia serta berusia 20 hingga 44 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata lesen bot yang digunakan juga disyaki telah tamat tempoh dan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959 dan Akta Perikanan 1985. – Bernama