APMM tahan bot nelayan Vietnam atas pelbagai kesalahan

KUDAT, 7 SEPT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kudat menahan sebuah bot nelayan Vietnam tanpa nombor pendaftaran yang bertindak agresif dengan melanggar bot peronda APMM selepas diminta berhenti untuk pemeriksaan di perairan Pulau Malawali pada Sabtu lepas.

Pengarah Zon Maritim Kudat Komander Maritim Boon Chin Chau berkata hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditahan pada 7:30 pagi dalam operasi Op Pluto Timur itu mendapati bot berkenaan dikendalikan seorang tekong dan tujuh awak-awak warganegara Vietnam berumur antara 22 dan 53 tahun.

Beliau berkata tekong dan empat awak-awak itu tidak mempunyai sebarang dokumen manakala tiga lagi  mempunyai passport.

“Bot tersebut juga mempunyai hasil tangkapan balat basah dianggarkan seberat 200 kilogram selain membawa muatan 6,000 liter minyak diesel. Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM500,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Boon berkata bot berkenaan kemudian dibawa ke jeti awam Kudat dan kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985, Seksyen 6(1)( c ) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. – Bernama