Apo nak dikato versi tamil dilancarkan

Ketika hayatnya, pemain bes kumpulan Blues Gang, Jim Madasamy pernah mengambil inisiatif merakamkan sebuah album Tamil.

Niatnya hanya untuk memperkenalkan muzik blues kepada komuniti India.

Bagaimanapun, disebabkan pasaran album yang tidak memberangsangkan, selain berdepan kekurangan dana untuk menyiapkannya, projek itu terhenti begitu sahaja.

Namun, selepas 12 tahun album diperam, hasrat mendiang untuk melihat bingkisan terbabit dipasarkan tercapai. Semuanya atas inisiatif Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez.

Freddie memberitahu, perkenalannya dengan penerbit album, Nelson Fernandez mencetuskan idea buatnya menyiapkan projek itu. Karyawan mahu menunaikan impian mendiang terutama memberi sesuatu kepada industri muzik dan kaum India di Malaysia.

Balu artis Jim Madasamy, Soo Leak Meng (tengah) memegang album mendiang suaminya yang merupakan pemain bass kumpulan Blues Geng ketika bergambar bersama ahli kumpulan tersebut pada majlis pelancaran Album dan Tabung Prihatin Artis Jim Madasamy di Panggung Eksperimen, ASWARA. – Bernama

“Album ini sudah lama dirakamkan Jim iaitu pada 2008. Namun, disebabkan kekurangan dana dan pasaran album yang kurang stabil, proses pembikinannya terbantut.

“Selepas bertemu Nelson, dia membuka cerita mengenai album itu. Nelson beritahu, selama ini dia berusaha mencari penaja bagi menyiapkan album terbabit, namun gagal,” katanya kepada media pada majlis pelancaran album Tamil Jim Madasamy dan Tabung Prihatin Artis Jim Madasamy di Panggung Eksperimen, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di ibu negara.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Nancy Shukri bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Jim meninggal dunia pada usia 68 tahun selepas terjatuh ketika menunggang basikal berhampiran kediamannya di Jalan Ipoh, di sini, dua tahun lalu.

Freddie berkata, selepas mendapat maklumat mengenai projek album Tamil Jim, beliau mendapat sokongan Pengarah Urusan Amalan Setar (M) Sdn Bhd, Datuk Seri Rajendran Ramasamy. Usahawan itu menyuntik dana dan membayar kos sepanjang pembikinan album terbabit.Mengulas lanjut pembikinan album itu, Freddie memberitahu, kos menyiapkan album berkenaan mencapai RM35,000.

“Kos membabitkan proses mastering dan rakaman di studio. Pembikinan album ini turut dibantu anggota Blues Gang yang lain sebagai pemuzik.

“Daripada segi konsep keseluruhan termasuk pemilihan lagu, semuanya dilakukan Jim. Semua lagu dalam album ini dicipta Jim tetapi lirik dihasilkan orang lain.

“Apa yang menarik, semua lagu dalam album ini dinyanyikan Jim. Saya terkejut dan tak sangka dia boleh menyanyi,” katanya.

Apa yang menarik, Jim turut merakamkan lagu hit kumpulan Blues Gang, Apo Nak Dikato dalam versi Tamil. Isteri kepada mendiang Jim, Soo Leak Meng kagum semangat suaminya menyiapkan projek itu dan gembira melihat amanat akhir Jim untuk melihat album itu diterbitkan, terlaksana.

Wanita berusia 57 tahun ini turut memaklumkan sebuah buku biografi menyentuh karier suaminya bakal menyusul, tidak lama lagi.

Sementara itu, pada majlis itu, seramai 10 penggiat seni yang uzur dan tidak berkemampuan menerima bantuan yang disalurkan menerusi Tabung Prihatin Artis Jim Madasamy. – Agensi