SAN FRANCISCO, 19 Okt – Apple mengumumkan semalam akan mengadakan satu acara media utama pada 30 Oktober di Akademi Muzik Brooklyn di New York, di mana ia dijangka melancarkan tablet baharu dan komputer Mac dengan ciri-ciri baharu yang dapat dilihat dalam iPhone terkininya.
Syarikat itu telah mengeluarkan jemputan media untuk acara khas itu, yang disiarkan di media sosial menunjukkan para jemputan menerima jemputan dalam reka bentuk logo Apple yang berwarna-warni.
Apple tidak berkata tujuan persidangan akhbar di New York, tetapi jemputan dengan perkataan ‘Lebih banyak dalam pembikinan’ mencadangkan syarikat akan mengeluarkan produk baharu seperti iPad Pros dengan paparan yang lebih besar dan ciri-ciri pengecaman wajah Face ID yang telahpun digunakan di iPhone.
Laporan media berkata iPad Pro akan mempunyai bahagian tepi yang nipis, pangkalan USB-C baru dan saiz paparan 11 inci atau 12.9 inci.
Juga dijangka Apple akan mengeluarkan Mac Mini Pro baru dan MacBook kos murah dengan skrin baharu. Laporan Bloomberg berkata pada Ogos tahun ini bahawa versi komputer Mac Mini yang dipertingkatkan akan menyasarkan pengguna profesional.
Apple biasanya melancarkan produk baharunya pada musim luruh. Sebelum ini, ia melancarkan iPhone XS, iPhone XS Max dan iPhone XR pada satu acara gemilang di kampus ibu pejabatnya di Cupertino, utara California. – Xinhua