Apple diminta kurangkan bayaran App Store

SAN FRANCISCO, 21 OGOS – Pertubuhan media Amerika telah menulis kepada Apple mendesak pengeluar iPhone itu supaya mengenakan bayaran yang kurang untuk menggunakan App Store, seminggu selepas syarikat di sebalik permainan video popular Fortnite menyaman firma teknologi itu berhubung isu yang sama.

Badan perniagaan Digital Content Next (DCN) – yang mewakili akhbar terkenal termasuk New York Times, The Washington Post dan The Wall Street Journal – menulis kepada bos Apple Tim Cook bertanyakan sebab-sebab mereka tidak diberikan syarat-syarat yang sama seperti syarikat lain.

Mereka berkata daripada membayar 30 peratus untuk transaksi dalam App Store, mereka harus diberikan transaksi yang sama seperti Amazon Prime Video, yang membayar komisen 15 peratus kepada Apple.

“Kami ingin tahu syarat-syarat yang diperlukan oleh ahli kami – syarikat isi kandungan digital berkualiti tinggi – demi melayakkan diri untuk mendapatkan keistimewaan yang diterima oleh Amazon,” kata surat DCN bertarikh semalam.

Surat itu merujuk kepada mesyuarat pecah amanah Dewan Perwakilan pada akhir Julai di mana Cook berkata urus niaga turun harga boleh diperoleh oleh syarikat yang memenuhi syarat tertentu.

“Saya meminta anda menjelaskan syarat-syarat yang dipenuhi oleh Amazon supaya ahli syarikat DCN yang memenuhi syarat berkenaan boleh ditawarkan perjanjian yang sama,” tulis bos DCN Jason Kint.

Pada minggu lalu, pengeluar Fortnite, Epic Games, menyaman Apple atas cara ia mengendalikan App Store, menuduh pengeluar iPhone itu menggunakan kuasa monopoli. – AFP