Sunday, November 27, 2022
24 C
Brunei

-

Apple Inc hasil iPhone baharu di India

NEW DELHI, 26 SEPT – Apple Inc akan mengeluarkan iPhone 14 terbaharu di India, menurut syarikat itu hari ini, ketika pengilang mengalihkan pengeluaran dari China di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan sekatan wabak yang telah menjejaskan rantaian bekalan bagi kebanyakan industri.

“Barisan iPhone 14 baharu memperkenalkan teknologi baharu dan keupayaan keselamatan penting. Kami teruja untuk mengeluarkan iPhone 14 di India,” menurut Apple dalam satu kenyataan.

Awal bulan ini, Apple telah mendedahkan barisan iPhone baharunya yang mempunyai kamera lebih baik, pemprosesan lebih pantas dan bateri tahan lama pada harga yang sama seperti model tahun lepas. India merupakan pasaran telefon pintar kedua terbesar di dunia selepas China namun jualan iPhone Apple bergelut untuk menguasai sebahagian besar pasaran berbanding telefon pintar yang lebih murah daripada pesaing.

Pengumuman daripada syarikat yang berpangkalan di Cupertino, California itu selaras dengan dorongan Perdana Menteri Narendra Modi bagi pembuatan tempatan, yang telah menjadi matlamat utama kerajaannya sejak beliau memegang jawatan pada 2014.

Syarikat teknologi itu telah meletakkan pertaruhan besar ke atas India, di mana ia mula mengeluarkan iPhone SE pada 2017 dan sejak itu terus memasang beberapa model iPhone di sana.

Apple membuka kedai dalam taliannya untuk India dua tahun lalu, tetapi pandemik telah menangguhkan rancangan untuk kedai utama di India, menurut laporan media tempatan.

Model terbaharu itu akan dihantar oleh Foxconn, pemasang iPhone utama, yang kemudahannya terletak di pinggir Chennai, sebuah bandar di selatan India.

Apple berkemungkinan mengalihkan kira-kira 5 peratus daripada 14 pengeluaran iPhonenya ke India akhir tahun ini, meningkatkannya kepada 25 peratus menjelang 2025, menurut laporan JP Morgan yang dipetik oleh agensi berita Press Trust of India. – AP

Gambar fail model iPhone baharu dipamerkan pada acara di kampus ibu pejabat Apple di Cupertino, California pada 7 September. – AP
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea Selatan lancar bas pandu sendiri

SEOUL, 25 NOV – Ibu negara Korea Selatan melancarkan laluan bas pandu sendiri pertama hari ini, sebahagian daripada uji kaji yang dikatakan jurutera berhasrat...
- Advertisment -