Apple kurang ramalan output iPhone 13

SAN FRANCISCO, 13 OKT – Apple mungkin tidak dapat memenuhi matlamat penghasilan untuk iPhone baharu sebelum cuti yang akan datang kerana kekurangan cip elektronik global, menurut sebuah laporan kelmarin.

Firma tersebut telah merancang untuk menghasilkan 90 juta iPhone 13 sebelum akhir tahun ini, tetapi hanya dapat menghasilkan 80 juta kerana pembekal, Broadcom dan Texas Instruments tidak dapat memenuhi permintaan, kata Bloomberg News, memetik sumber yang mengetahui hal tersebut.

Apple memperkenalkan barisan i-Phone yang baharu pada bulan lalu, dengan empat model baru, termasuk i-Phone 13 Mini yang dijual pada harga bermula AS$700, dan iPhone 13 Pro Max, dengan harga AS$1,100.

“Kami menganggarkan bahawa permintaan keseluruhan telah meningkat di seluruh dunia,” kata penganalisis Wedbush, Dan Ives, yang menekankan permintaan yang tinggi di China dan AS. – AFP

Apple mungkin tidak dapat memenuhi matlamat penghasilan untuk iPhone baharunya sebelum cuti yang akan datang kerana kekurangan cip elektronik global. – AFP