Apple lancar kedai dalam talian pertama di India

MUMBAI, 18 SEPT – Apple akan melancarkan kedai dalam talian pertamanya di India pada minggu depan, kata syarikat gergasi Silicon Valley hari ini, berharap mengambil kesempatan ke atas musim perayaan dalam negara dan menambah sahamnya dalam pasaran yang berkembang pesat.

Syarikat itu adalah pelabur kecil di India, di mana jualan telefon pintar ketinggalan di belakang firma Korea Selatan, Samsung, dengan pengeluar iPhone menetapkan harga eksklusif di pasaran.

Usaha terbaharunya di India diadakan tatkala ekonomi ketiga terbesar Asia itu mencatat kemelesetan teruk disebabkan sekatan koronavirus berbulan-bulan lamanya.

Musim membeli-belah paling sibuk di India biasanya dilancarkan pada Oktober, dengan kedai menawarkan diskaun menarik dan hadiah percuma kepada pelanggan yang berbelanja ke atas produk mahal apabila mereka merai perayaan Hindu termasuk Dussehra dan Diwali.

Kedai dalam talian Apple, yang akan dibuka kepada perniagaan pada 23 September, akan menawarkan ‘pelbagai pilihan mampu dibeli’ termasuk diskaun ke atas Mac, iPad dan aksesori teknologi untuk pelajar, kata syarikat dalam siaran akhbar.

Pembeli-belah boleh mendapatkan AirPod, iPad dan Apple Pencils yang diukir dalam bahasa Inggeris, Hindi dan beberapa bahasa India lain.

Apple buat masa sekarang menjual menerusi peruncit pihak ketiga di India termasuk Amazon, dan negara itu dilihat sebagai satu pasaran yang mempunyai potensi besar untuk firma itu disebabkan 1.3 bilion penduduknya dan juga jumlah pemilik telefon pintar yang rendah. – AFP

Gambar fail menunjukkan pembeli prospektif memeriksa komputer tablet iPad di sebuah kedai Apple di Bangalore, India. – AP