Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Apple lancar produk baharu

    PARIS, 7 JUN – Gergasi teknologi Apple telah melancarkan produk utama pertamanya dalam tempoh lebih tujuh tahun, iaitu peranti fon kepala realiti campuran yang mungkin memberikan tamparan hebat kepada metaverse.

    Saingan Lembah Silicon, Meta begitu yakin ia boleh mencipta metaverse idea tentang internet imersif 3D sehingga ia menukar namanya daripada Facebook kpada 2021 dan mula melabur berbilion-bilion ke dalam projek tersebut.

    Tetapi idea itu telah dihalang oleh pelancaran yang kurang berjaya, grafik yang tidak memuaskan, tiada laluan yang jelas untuk mencapai keuntungan dan perasaan umum bahawa hanya sedikit orang yang tahu apa itu metaverse.

    Makmal Realiti Meta, bahagian yang mengendalikan usaha metaversenya, telah kehilangan AS$4 bilion setakat ini dan ketua syarikat, Mark Zuckerberg semakin kerap membicarakan mengenai kecerdasan buatan berbanding metaverse.

    Semasa pembentangannya baru-baru ini, bos Apple, Tim Cook memperkenalkan Vision Pro, set fon kepala anggun menyerupai gogal ski.

    Alat dengar Apple Vision Pro dipaparkan di bilik pameran di kampus Apple di Cupertino, California, selepas ia diperkenalkan pada persidangan pembangun tahunan syarikat itu, 5 Jun. – AP

    Ia akan membolehkan pengguna berkomunikasi, bekerja, menonton filem, mendengar muzik dan juga memilih sama ada untuk tenggelam sepenuhnya atau terus mengawasi dunia luar.

    Cook secara terang-terangan tidak menyebut metaverse sekali pun dalam pelancaran selama sejam, dengan Apple sebaliknya menjanjikan permulaan era pengkomputeran spatial.

    “Tim Cook telah menyatakan bahawa beliau tidak suka menggunakan perkataan itu, dia tidak berpendapat ia mempunyai makna sebenar,” kata Ketua Pegawai Strategi di Diva, sebuah agensi pemasaran, James Whatley.

    “Lebih pantas Meta boleh beralih daripada perkataan itu, lebih baik kedudukan mereka dalam memerangi pencerobohan Apple ke dalam bidang tersebut,” tambahnya. – AFP

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...