Apprentice kembali dengan hos baru

ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD

 

SIRI rancangan realiti yang menumpukan kepada aspek ujian kemahiran para peserta dalam bidang perniagaan, Celebrity Apprentice kembali lagi dengan musim baru di mana ia adalah merupakan siri kelapan kepada rancangan realiti ini.

Jika sebelum ini, rancangan realiti ini cukup sinonim dengan kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebagai hos dan ketua juri dalam rancangan yang dicipta oleh Mark Burnett.

Kini, rancangan tersebut kembali lagi dengan hos baru iaitu pelakon filem aksi terkemuka dan bekas Gabenor California, Arnold Schwarzenegger.

Berikutan daripada pertukaran hos utama itu, ungkapan You’re fired yang sering kali diungkapkan pada setiap akhir episod di mana ia menandakan kepada penyingkiran peserta yang gagal menonjolkan prestasi baik turut ditukar kepad ungkapan You’re terminated berikutan populariti filem Terminator yang pernah dibintangi oleh Arnold Schwarzenegger.

The New Celebrity Apprentice dihoskan oleh Arnold Schwarzenegger.
The New Celebrity Apprentice dihoskan oleh Arnold Schwarzenegger.

Selain itu, Arnold turut dibantu oleh beberapa barisan selebriti yang juga merupakan ahli perniagaan berjaya dalam barisan panel juri jemputan seperti Warren Buffett, Tyra Banks, Steve Ballmer, Jessica Alba, Rocco DiSpirito, Tracey Edmonds, Bob Harper, Patrick M. Knapp Schwarzenegger yang merupakan anak buah kepada hos itu sendiri dan bekas pemenang Celebrity Apprentice, Leeza Gibbons.

Secara dasarnya, begitu banyak aspek kemahiran peserta yang terdiri daripada selebriti itu jelas teruji seperti semangat kepimpinan dan kerjasama dalam berpasukan bagi sama-sama memastikan diri mereka terus berjaya dan cemerlang dalam menghadapi setiap cabaran khususnya dalam bidang perniagaan.

Manakala, barisan selebriti yang bertanding dalam rancangan The New Celebrity Apprentice ini adalah Laila Ali, Brooke Burke-Charvet, Eric Dickerson, Boy George, Matt Iseman, Carrie Keagan, Carson Kressley, Lisa Leslie, Jon Lovitz, Vince Neil, Nicole ‘Snooki’ Polizzi, Kyle Richards dan Chael Sonnen, Porsha Williams, Ricky Williams dan Carnie Wilson.

Maka, sekiranya anda teruja untuk melihat aksi-aksi para selebriti ini menunjukkan kemahiran mereka dalam pengurusan perniagaan jangan terlepas daripada terus menyaksikan siri The New Celebrity Apprentice ini sehingga ke penghujungnya.