Aprena timba pengalaman urus kerjaya sendiri

Pelakon, Aprena Manrose selesa bergerak sendiri menguruskan kerjaya seninya sepanjang lima tahun bergelar anak seni.

Bukan tidak mempercayai syarikat pengurusan, namun dirinya masih mampu mengendalikan urusan kerjaya tanpa bantuan. Jika mempunyai komitmen besar, barulah khidmat pembantu peribadi atau pengurus secara sambilan diperlukan. Ketika kakaknya, Oktovia Manrose menyertai syarikat pengurusan Absolut Management, anak pasangan bekas penyanyi dangdut, Iwan dan penerbit, Allahyarham Rosnah Mohd Noor itu tetap dengan pendirian sama.

“Ikutkan sudah lama syarikat pengurusan mengajak saya menyertai mereka. Seingat saya, lamaran datang ketika saya meledak menerusi drama Tiada Arah Jodoh Kita.

“Bagaimanapun, setakat ini, saya selesa urus kerjaya sendiri. Saya biasa berdikari. Saya pun sudah kutip pengalaman dalam menguruskan kerjaya seni termasuk urusan kontrak.

“Jika masih baru mungkin saya boleh mempertimbangkan menyertai syarikat pengurusan, tetapi ini sudah lima tahun bergelar pelakon,” katanya kepada media.

Aprena berkata dia hanya perlu khidmat pengurus atau pembantu peribadi dalam tempoh tertentu. – Agensi

Aprena atau nama sebenarnya, Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman berkata, dia hanya perlu khidmat pengurus atau pembantu peribadi dalam tempoh tertentu.

“Saya guna khidmat pembantu peribadi atau pengurus hanya sesekali sekiranya ada komitmen besar. Jika tak perlu, saya buat semua kerja sendiri,” katanya yang berada di Kuala Kangsar, Perak untuk penggambaran drama Kalung. Katanya, dia kali pertama bergandingan dengan Josiah Hogan menerusi drama 26 episod itu.

“Penggambaran drama sudah dilakukan sekitar Kuala Lumpur sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun, penggambaran drama tertangguh penggambarannya dan agak menyedihkan, pengarahnya, Allahyarham Nurhalim Ismail menghembuskan nafas terakhir pada Julai lalu.

“Saya hanya sempat berlakon di bawah arahannya selama tiga hari sahaja. Tuhan lebih menyayanginya.

“Drama Kalung diteruskan dengan pengarah, Hazali Ramli yang juga bapa kepada pelakon, Eyra Hazali,” katanya. – Agensi