Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Ara Johari kembali dengan Sumpahan Salju

    Selepas empat bulan muncul menerusi single Keliru, penyanyi berbakat besar, Ara Johari kembali dengan single terbaharunya yang berjudul Sumpahan Salju hasil ciptaan Ziin, manakala lirik oleh Jerry dan diterbitkan oleh label Rocketfuel Entertainment.

    Menurut Ara yang juga penyandang naib juara di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-33, walaupun sibuk menguruskan perniagaan masakan miliknya, Ara masih lagi memperuntukkan waktu untuk merakamkan lagu baharu kerana baginya bidang nyanyian adalah keutamaan.

    “Alhamdulillah perniagaan saya semakin berkembang dengan tertubuhnya cawangan di Klang, tidak menang tangan dibuatnya! Namun begitu, kerjaya sebagai penyanyi tetap nombor satu.

    “Ceritanya begini, ketika itu saya berada di studio muzik bagi mendengar ‘material’ baru daripada abang Zimi (Ziin) dan terus terpikat dengan melodi Sumpahan Salju yang memaparkan muzik tradisional Jawa yang dimodenkan.

    “Kami memulakan sesi rakaman dalam kadar yang agak pantas, ia mengambil tempoh kurang dari tiga jam sahaja. Manakala, selebihnya abang Zimi yang bertanggungjawab melakukan proses adunan bagi mempercantikkan lagi bunyi lagu tersebut,” katanya.

    Mengulas lanjut, single terbaharu itu juga mengangkat kisah dongeng popular dunia, Snow White, dan dilatarkan dengan muzik tradisional Jawa.

    Sumpahan Salju adalah sebuah adaptasi dari cerita dongeng kanak-kanak yang popular iaitu Snow White, dan kalau pendengar amati bait-bait liriknya, pasti mengerti dengan jalan cerita lagu ini.

    “Saya sebenarnya gemar dengan melodi-melodi yang unik, dan lagu ini nyata berbeza daripada genre yang pernah saya bawakan sebelum ini.

    “Cuma pada kali ini, saya mahu mencuba sesuatu yang baharu serta berbeza dan tidak pernah terjangka oleh sesiapa,” ujarnya.

    Dalam pada itu, penyanyi lagu Bunga itu mendedahkan lagu itu turut mencabar dirinya untuk keluar daripada zon selesa daripada aspek pemilihan fesyen yang ditonjolkan dalam muzik video (MV).

    “Saya sentiasa cuba memperbaiki penampilan diri dari segi berfesyen agar sejajar dengan perkembangan muzik yang saya bawakan. Bukanlah berubah seratus peratus, saya masih Ara, cuma lebih ‘up-to-date’.

    “Bersesuaian dengan jalan cerita kisah dongeng serta konsep single Sumpahan Salju, MV juga memaparkan sesuatu yang istimewa dengan menerapkan konsep tradisi Jawa dan Barat yang tidak pernah terlihat sebelum ini.

    “Saya juga memainkan tiga watak yang berbeza dalam MV ini, dan kalau hendak tahu lebih lanjut, kena lah tonton!” kongsinya lagi. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...