RIYADH, 19 DIS – Duta Iran, Hassan Eyrlou dibenarkan melepasi sekatan udara apabila dibawa keluar dengan penerbangan dari ibu negara Yaman yang dikuasai pemberontak untuk menerima rawatan COVID-19.
Menurut jurucakap rasmi Saudi dan Iran, ‘kebenaran’ melepasi sekatan udara yang dikuat kuasa oleh pakatan diketuai Arab Saudi jarang berlaku sebelum ini.
“Duta terbabit berlepas dengan pesawat Iraq dan kini mungkin sudah berada di Baghdad,” kata pegawai kanan Arab Saudi yang biasa menguruskan hal ehwal berkaitan Yaman kepada AFP.
Beliau berkata penerbangan itu disediakan atas permintaan puak pemberontak Huthi Yaman sebelum dipersetujui pihak berkuasa Arab Saudi menerusi perantaraan oleh Iraq dan Oman.
Iraq sebelum ini menjadi tuan rumah bagi beberapa mesyuarat tinjauan membabitkan Iran dan Saudi yang mahu memperbaiki hubungan selepas perang proksi selama bertahun-tahun di rantau itu.
Oman adalah satu-satunya negara Teluk Arab yang kekal berke-cuali dalam konflik Yaman dan sering menjadi pengantara dengan pemberontak. – AFP