Arab Saudi anjur perlumbaan sulung F1

JEDDAH, 30 NOV – Perlumbaan sulung Formula Satu (F1) di Arab Saudi akan memperkenalkan negara itu kepada dunia, kata bos sukan permotorannya sambil menyelar kritikan terhadap dakwaan hak asasi serta tuntutan membatalkan konsert Justin Bieber.

Litar baharu di sini telah hampir siap sepenuhnya menjelang perlumbaan malam Ahad ini, kata Putera Khalid bin Sultan al-Faisal dalam satu temu bual, setahun selepas Arab Saudi disahkan sebagai penganjur terbaharu F1.

“Apabila kami membuktikan dalam beberapa hari lagi yang perlumbaan ini akan berjalan lancar, ia akan memberi isyarat kepada seluruh dunia siapa rakyat Saudi sebenarnya dan kemampuan Arab Saudi.

“Kami boleh katakan litar sudah 95 peratus siap. Lima peratus lagi hanyalah perkara-perkara kecil, daripada penjenamaan, penanaman pokok dan hiasan.

“Litar sudah siap, infrastruktur sudah lengkap… apa yang berkaitan dengan perlumbaan sudah siap,” kata Putera Khalid, Presiden Persekutuan Automobil dan Motosikal Arab Saudi (SAMF).

Pendahulu kejuaraan Max Verstappen dari Red Bull mampu mengesahkan gelaran dunia di Arab Saudi minggu ini, salah satu daripada empat negara Teluk yang mengisi kalendar F1 tahun ini.

Ia adalah antara beberapa acara besar terkini yang dianjurkan di Arab Saudi, yang juga menganjurkan acara tinju dan golf Jelajah Eropah serta berdepan tuduhan ‘menggunakan sukan untuk mempertingkat imej’ – dalam usaha mengalih tumpuan daripada rekod hak asasi manusianya. – AFP

Seorang budak lelaki bergambar bersama kereta lumba yang mempromosi Formula Satu di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah, Arab Saudi pada 29 November. – AP