Arab Saudi benarkan ‘semua negara’ lintasi ruang udaranya

DUBAI, 2 SEPT – Arab Saudi mengumumkan hari ini bahawa ia akan membenarkan penerbangan ‘dari semua negara’ untuk memasuki ruang udaranya untuk menuju ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), pengumuman bersejarah pertama dibuat beberapa hari selepas Arab Saudi membenarkan penerbangan penumpang komersial Israel secara langsung untuk menggunakan ruang udaranya untuk sampai ke UAE.

Kenyataan tersebut tidak menyebutkan musuh mereka, Iran dan Qatar, yang ketika ini diboikot oleh Arab Saudi. Ia merujuk kepada permulaan penerbangan komersial pertama dari Israel ke UAE, kerana mana-mana penerbangan langsung antara kedua-dua negara perlu menggunakan ruang udara Saudi untuk membolehkannya berdaya saing dari segi komersial.

Agensi Berita Saudi berkata langkah tersebut dibuat sebagai respons kepada ‘permintaan oleh UAE’ untuk penerbangan dari atau ke negaranya.

Awal minggu ini, Jared Kushner, menantu kepada presiden Amerika Syarikat (AS) dan penasihat kanan, terbang dengan delegasi tertinggi Israel ke UAE dalam penerbangan penumpang komersial langsung pertama di antara dua buah negara. Penerbangan tersebut melintasi ruang udara Arab Saudi, menandakan sekurang-kurangnya kejayaan perjanjian yang dibroker oleh AS dengan UAE untuk memulihkan hubungan dengan Israel.

Tidak lama selepas kenyataan Saudi, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata kapal terbang Israel dan penerbangan dari semua negara lain dibenarkan untuk terbang secara langsung dari Israel ke Abu Dhabi dan Dubai. Beliau tidak menyebut Arab Saudi tetapi penerbangan secara langsung dari Israel membabitkan penggunaan ruang udara Arab Saudi.

“Ini akan mengurangkan kos penerbangan dan memendekkan masa, ini akan meningkatkan pelancongan dan ekonomi kita,” kata Netahyahu dalam kenyataan video yang dikeluarkan oleh pejabatnya.

“Ini adalah hasil perdamaian sebenar,” katanya. – AP

Arab Saudi kelmarin mengumumkan membenarkan penerbangan dari semua negara untuk memasuki ruang udaranya. – AP