Arab Saudi bidas resolusi Senat AS

RIYADH, 17 Dis – Arab Saudi hari ini membidas resolusi Senat Amerika Syarikat (AS) berhubung peperangannya di Yaman dan mengkritik pembunuhan Jamal Khashoggi sebagai ‘campur tangan’, dengan memberi amaran bahawa langkah itu mungkin membawa kesan ke atas hubungan strategiknya bersama Washington.

Senat yang dikuasai oleh parti Republikan Khamis lalu mengundi untuk menamatkan bantuan ketenteraan AS bagi peperangan di Yaman yang diketuai Riyadh dan secara berasingan meletakkan tanggungjawab bagi pembunuhan Khashoggi ke atas Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Undi berkenaan mengundang amaran baharu terhadap Presiden Donald Trump yang memberi sokongan kuat kepada rejim Saudi tatkala kemarahan sejagat, yang menurut para penganalisis telah mengakibatkan negara beraja itu lemah dari segi diplomatik.

“Negara beraja itu menyelar pendirian terkini Senat AS yang berlandaskan dakwaan tidak berasas dan menolak campur tangan terang-terangan dalam hal-ehwal dalamannya,” menurut kementerian luar dalam kenyataan yang dipetik oleh agensi rasmi, Agensi Saudi Press.

Berhubung langkah berkaitan Yaman, yang lebih meluas membidas hak istimewa presiden untuk melancarkan tindakan ketenteraan, 49 orang parti demokrat dan sekutu mereka menyokong untuk memihaknya, berserta tujuh orang parti Republikan, manakala tiga orang lagi ahli Republikan berkecuali.

Senat turut meluluskan resolusi yang menyelar pembunuhan Khashoggi dan menyifatkan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, pemimpin de facto Arab Saudi, yang ‘bertanggungjawab’ ke atas pembunuhan itu.

Kementerian Arab Saudi memberi amaran bahawa negara itu tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang ‘sikap tidak hormat’ ke atas para pemimpinnya.

“Pendirian senat AS menunjukkan mesej salah kepada semua yang mahu mencetuskan perselisihan dalam hubungan AS dan Saudi,” menurut kementerian itu.

“Negara itu berharap ia tidak akan membawa kepada perdebatan politik tempatan di AS untuk mengelak sebarang impak negatif ke atas hubungan penting strategik.” – AFP

Gambar fail bertarikh 29 Januari 2011 menunjukkan Jamal Khashoggi membuat panggilan semasa menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland. – AP